RATU terjun negara, Pandelela Rinong menarik nafas lega apabila Sukan Olimpik Tokyo ditangguhkan ke tahun 2021 akibat penularan wabak Covid-19. Menerusi laman sosial instagram, Pandelela menyatakan keselamatan dan kesihatan adalah menjadi keutamaan sejak penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan negara ketika ini.

“Penangguhan sukan Olimpik ini memberi persediaan yang lebih rapi untuk saya bagi mengharungi kejohanan dunia itu,” katanya. Beliau yang kini berada di Kuala Lumpur menjalani latihan fizikal individu di kawasan kediamannya.

Kejayaan terbaru beliau sebelum melangkah ke Sukan Olimpik adalah berjaya meraih pingat perak dalam acara beregu 10 meter di Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan.

Pandelela dan Mun Yee mengumpul 312.72 mata untuk menamatkan saingan di tempat kedua di belakang gandingan China, Lu Wei dan Zhang Jiaqi yang meraih pingat emas.

Semalam, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengumumkan bahawa beliau dan Ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bersetuju menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo selama satu tahun.

Presiden IOC, Thomas Bach menyambut baik penangguhan sukan berprestis itu kerana bimbangkan keselamatan atlet, jurulatih, pegawai dan para penonton daripada masalah penyakit berjangkit Covid-19.