PUTRAJAYA: Proses nyah cemar bagi membendung wabak COVID-19 akan dilaksana di seluruh negara bermula Isnin ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata proses nyah cemar yang akan dilaksana oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) setiap daerah itu akan menumpukan kepada kawasan berisiko tinggi terhadap jangkitan wabak itu, terlebih dahulu.

“Setakat ini, 11 proses nyah cemar dilakukan oleh DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) melibatkan 11 pasar.

“Hari ini proses nyah cemar juga dilaksana di kawasan Seri Petaling,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat menteri-menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Beliau berkata proses nyah cemar juga akan dilaksana di semua Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata misi membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir akan dilaksana esok menerusi satu penerbangan khas.

Tanpa menyatakan jumlah rakyat Malaysia itu, beliau berkata mereka akan dibawa pulang dari Kaherah ke Brunei, dan seterusnya ke negara ini.

Setakat ini, beliau berkata kerajaan berjaya membawa pulang 2,612 daripada 3,162 rakyat Malaysia di 60 negara.

“Dua belas pesawat komersial juga bersedia membawa pulang 1,988 rakyat Malaysia dari India termasuk rakyat Malaysia berbangsa Sikh yang terkandas di Amritsar, Punjab, India,” katanya dan menjelaskan bahawa proses membawa pulang rakyat Malaysia di India itu dibantu MIC yang menaja penerbangan tersebut.

Beliau menasihatkan rakyat negara ini yang masih terkandas di luar negara supaya menghubungi pejabat Kedutaan Malaysia terdekat dengan mereka untuk urusan pulang ke tanah air. – Bernama