KUCHING: Gerald Goh yang berbakat melukis mengambil inisiatif bekerjasama dengan MBKS membantu golongan yang memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini.

Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, MBKS akan bekerjasama dengan Gerald Goh mengutip dana melalui hasil kutipan minimum RM100 untuk sebuah keluarga yang mahu mendapatkan lakaran lukisan pelukis itu.

“Hasil kutipan yang diterima ini akan digunakan untuk membeli segala barangan keperluan khasnya makanan kering yang diperlukan oleh golongan yang memerlukan terutamnya di kawasan MBKS. “Kami mahu orang ramai turut serta menderma melalui lukisan yang dihasilkan oleh Gerald Goh kepada keluarga yang memerlukan.

Mereka boleh berikan apaapa sahaja gambar untuk dilukis tidak kira potret dan sebagainya,” katanya kepada media di Lobi Bangunan MBKS di sini, petang semalam. Melalui sumbangan tersebut jelasnya, ia dapat membantu golongan yang terkesan dan memerlukan bantuan ketika negara masih menguatkuasakan PKP sehingga 14 April ini.

“Masyarakat Kuching merupakan antara masyarakat yang prihatin dan kami menyeru mereka yang mampu menghulurkan derma ikhlas bagi membantu mereka yang memerlukan ini. “Kita menyasarkan 100 keluarga tampil menghulurkan derma dengan minimum sumbangan RM100,” katanya dan menambah, orang ramai boleh menghubungi Angelina Bong di talian 016- 2792350 untuk maklumat lanjut.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru penduduk Kuching bersama-sama MBKS menderma darah bagi membantu bekalan bank darah hospital. “Kita menyasarkan 50 pain darah sehari diperoleh melalui kempen derma darah di Dewan Masya-rakat MBKS ini sejak tiga hari lalu.

“Orang ramai boleh datang dan kita buka Dewan Masyarkat ini dari jam 9 pagi hingga 4 petang sehingga berakhirnya PKP ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan perhargaan terima kasih kepada Pejabat Konsulat China di Kuching atas sumbangan lebih 3,000 penutup mulut dan hidung untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan, pihak berkuasa dan kakitangan MBKS sendiri.