KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan adalah mencukupi sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata oleh itu, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik atau menyimpan stok berlebihan kerana keadaan masih terkawal dan bekalan adalah mencukupi.

“Kerajaan akan sentiasa memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi ketika musim ini, termasuk  pada bulan Ramadan nanti kepada pengguna.

“Malah hasil tinjauan yang dilakukan hari ini turut mendapati bekalan barangan keperluan mencukupi dan harga barangan adalah seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya turut membuka bilik gerakan COVID-19 untuk sentiasa memantau dari segi kecukupan bekalan makanan dan masalah yang dihadapi setiap rantaian pembekal makanan ketika musim penularan wabak COVID-19.

“Tidak dinafikan terdapat kes terpencil rungutan pengeluar yang tidak dapat memasarkan barangan kepada pengguna, termasuk sesetengah (insiden) barangan terputus bekalan namun pihak kami telah mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi,” katanya.

Che Abdullah berkata pihaknya juga ingin menegaskan bahawa peniaga atau pembekal tidak boleh mengambil kesempatan terhadap kesusahan yang dihadapi orang ramai ketika penularan wabak COVID-19.

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, terutama ketika penularan wabak ini, peniaga dan pembekal dinasihatkan agar tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna, termasuk menyorok barangan keperluan dan menaikkan harga sesuka hati.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku memandangkan penghantaran bekalan makanan masih beroperasi seperti biasa malah kerajaan turut memberi jaminan tiada sekatan akan dilakukan terhadap pembekal makanan untuk meneruskan penghantaran bekalan sepanjang tempoh ini,” katanya. – Bernama