BINTULU: Forum Komunikasi Masyarakat Muslim Indonesia (Forkommi) Bintulu tidak ketinggalan menyumbang barangan keperluan asas kepada warga Indonesia di sini.

Menurut Ketua FORKOMMI Bintulu, H Yusuf Himawan, sumbangan bagi meringankan beban warga Indonesia ekoran tidak dapat bekerja susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sehingga 14 April.

Katanya, pemberian barangan asas ini wujud disebabkan kepedulian FORKOMMI Bintulu terhadap kesulitan yang dialami oleh para pekerja Indonesia berikutan pandemik Covid-19.

Pemberian bahan makanan asas ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu A, B dan C yang mana kategori A adalah pemberian untuk satu atau dua individu, kategori B (tiga hingga enam individu) dan kategori C untuk bilangan tujuh dan lebih individu dalam satu keluarga,ujarnya.

Setakat ini, kata Yusuf lagi, sejumlah 223 warga Indonesia di sini telah menerima sumbangan tersebut dengan kebanyakan mereka bekerja di sektor pembinaan dan pekerja kedai.

Yusuf berharap usaha dan sumbangan FORKOMMI Bintulu itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban dan memberi sedikit kegembiraan kepada rakan senegara mereka.