SIBU: Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada Jumaat boleh dianggap perkhidmatan lima bintang yang diberikan kerajaan kepada rakyat.

Pemangku Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) David Munan berkata, bantuan itu memberi manfaat kepada rakyat bagi mengharungi kehidupan sukar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Pengumuman berjumlah RM250 bilion itu memberi kelegaan serta diterima positif setiap rakyat kerana tiada seorang pun tersisih.

“Penangguhan bayaran ansuran kereta dan rumah selama enam bulan, pemberian insentif bantuan bagi membantu golongan kurang mampu merupakan langkah tepat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, rakyat harus merancang dengan baik kewangan kerana tidak tahu bila PKP dan wabak Covid-19 ini berakhir.

David berkata, SWP juga gembira dengan pengumuman Muhyiddin yang memberikan penambahan insentif kepada petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, pegawai kesihatan, polis, Rela serta yang lain dalam menjalankan tugas ketika ini.

“SWP berharap semua insentif ini kelak dapat disalurkan dengan mudah serta tidak banyak proses, memandangkan ia tidak hanya melibatkan golongan B40 sahaja tetapi M40,” ujarnya.

David juga menggesa semua rakyat sentiasa mematuhi PKP serta memberikan kerjasama padu dalam memutuskan rantaian Covid-19 dengan segera.