KUCHING: Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai satu pengumuman yang berani.

“Ia merupakan pengumuman paling berani. Jelas menunjukkan betapa kerajaan prihatin akan rakyat dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, dalam keadaan negara berdepan cabaran besar bukan sahaja penularan wabak Covid19, malah ekonomi dunia yang kian merudum.

“Ia juga satu pengumuman sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat yang amat terkesan dengan penularan wabak Covid-19 dan langkah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak berkenaan,” katanya kepada media semalam.

Tambahnya, ini terbukti dengan jumlah peruntukan paling besar iaitu RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, selain RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara, tambahan RM20 bilion kepada apa yang telah diumum dalam pakej rangsangan sebelum ini.

“Pakej yang diumumkan Muhyidin itu juga menyentuh dan menyantuni seluruh lapisan rakyat tanpa ada yang terpinggir, termasuk jauh di hulu dan pedalaman Sarawak dan Sabah. “Ia satu pendekatan yang jelas mendahulukan rakyat dalam mendepani cabaran besar yang dihadapi negara ketika ini.

“Pakej ini bukan sahaja memanfaatkan golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah atau B40, malah keluar-ga berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) seperti Bantuan Prihatin Nasional iaitu tunai secara sekali bayar dengan peruntukan hampir RM10 bilion, serta banyak lagi insentif lain termasuk pengecualian sewaan dan penangguhan bayaran yang pastinya akan membantu meringankan beban rakyat,” jelasnya.

Menteri Kerja Raya itu juga menyatakan, pengumuman bantuan RM500 untuk lebih 1.5 juta penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk yang bekerja secara kontrak dan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja, bagi memastikan tidak berlaku pembuangan pekerja serta tidak berlaku pemotongan gaji, akan memanfaatkan 3.3 juta orang menerusi peruntukan RM5.9 bilion pastinya amat melegakan.

“Ia termasuk bantuan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang turut menerima kesan daripada Covid-19. “Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana turut memasukkan projek kecil menambah baik jalan, menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak, membersih rumah ibadat dan balai polis dengan peruntukan RM2 bilion,” ujarnya.

Beliau berharap agar peruntukan berkenaan agihan projek akan dapat memanfaatkan kontraktor dari G1 hingga G4 serta pembekal dan pemberi perkhidmatan, sekali gus meningkatkan aliran tunai di pasaran dan menggerakkan ekonomi selepas negara berdepan cabaran getir Covid-19.

“Pelaburan dalam bidang infrastruktur itu juga pastinya akan memberikan kesan gandaan manfaat lapan kali ganda. “Begitu juga projek kecil RM2 bilion yang diumum dalam pakej sebelum ini termasuk projek infrastruktur di kawasan Felda, projek membaik pulih sekolah daif di Sabah dan Sarawak bernilai RM350 juta dan projek membaik pulih perumahan rakyat termiskin bernilai RM150 juta.

“Pengumuman Perdana Menteri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri khususnya di Sabah dan Sarawak dalam memastikan bantuan yang disediakan sampai cepat ke rumah-rumah panjang dan penempatan orang asal yang jauh di pedalaman, akan memastikan rakyat di pedalaman yang turut terkesan akibat wabak berkenaan menerima manfaat segera daripada pakej berkenaan.

“Yang lebih penting sekarang adalah untuk seluruh lapisan rakyat bersama-sama berganding bahu berjuang melawan musuh yang tidak nampak di pandangan mata iaitu Covid-19, dengan duduk di rumah, keluar rumah hanya jika benar-benar perlu, patuhi arahan penjarakan sosial, membasuh tangan sekerap yang boleh dan sentiasa mengutamakan kebersihan,” tegasnya.

Beliau juga berkata, hanya dengan cara ini rantaian Covid19 akan dapat dipatahkan dan negara kita akan dapat terus bergerak ke hadapan dengan pakej rangsangan berani yang telah diumumkan Muhyiddin itu.