KUCHING: Pengumuman Pakej Prihatin Rakyat untuk seluruh penduduk Malaysia membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan prihatin akan dilema rakyat dalam menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April bulan depan.

Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam itu disambut baik oleh Cuepacs Sarawak. Pengerusinya Ahmad Malie berkata, bagi pihak penjawat awam, sudah pasti Cuepacs sangat gembira menerima berita baik itu.

Tegasnya, walaupun negara berada dalam keadaan getir disebabkan wabak Covid-19, namun Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mampu mengumumkan pakej prihatin yang boleh menggembirakan rakyat keseluruhannya.

“Cuepacs menyifatkan Pakej Prihatin Rakyat ini sebagai pakej yang menyeluruh dan inklusif ini kerana ia melibatkan semua lapisan rakyat di negara ini sama ada di peringkat rakyat berpendapatan rendah, atau rakyat yang bekerja di sektor swasta, hatta rakyat yang berkhidmat sebagai penjawat awam termasuk pesara kerajaan.

“Oleh itu, Cuepacs mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengumumkan insentif terbaik untuk menghargai anggota penjawat awam yang bertungkus-lumus di barisan hadapan melawan wabak Covid-19.

“Khususnya warga kesihatan, anggota berpakaian seragam dan lain-lain yang turut terlibat,” katanya ketika dihubungi semalam.