KUALA LUMPUR:  “Lockdown” di United Kingdom (UK) kini masuk hari kelima, bagi rakyat Malaysia Maznah Khalil yang berada di London bersama keluarganya, sukar untuknya meluahkan apa yang tersirat di hati.

Maznah, bekas kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dijadual pulang pada 15 April menerusi penerbangan Malaysia Airlines, dengan perintah lockdown di London dan larangan perjalanan udara di kebanyakan negara di dunia, beliau amat berharap dapat pulang ke Malaysia seperti yang dirancang.

“Sekarang susah nak hubungi Malaysia Airlines untuk dapatkan maklumat penerbangan. Setakat ini, tiada maklumat mengenai perubahan penerbangan, saya harap semua baik-baik saja.

“Tetapi dengan perkembangan terbaru, tak tahulah sama ada selamat atau  tidak kalau balik. Sebab itu saya buat persediaan yang perlu sama ada di London mahupun di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

“Saya bernasib baik kerana mempunyai tempat untuk tinggal di London, jika nak dibandingkan dengan pelawat lain yang terpaksa duduk di hotel dan terkandas akibat penerbangan ditunda,” kata Maznah.

Pada awal Februari, Maznah bersama anak dan dua cucu perempuannya melawat menantunya yang menuntut di London, kini tinggal di daerah South Lewisham.

“Sama seperti Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia, hanya seorang ahli keluarga sahaja dibenarkan keluar membeli barangan keperluan. Kebanyakan kedai tutup kecuali yang menjual barangan keperluan harian. Kami sudah buat persediaan awal beli keperluan seperti beras, tepung dan telur.

“Di Malaysia, saya dengar larangan lebih ketat, di sini rakyat masih boleh ke mana-mana dan ada yang pergi ke taman dan sebagainya.

“Walaupun kerajaan UK kuat kuasa lockdown baru-baru ini, tetapi banyak syarikat swasta telah meminta kakitangan mereka bekerja dari rumah dan langkah penjarakan sosial dibuat lebih awal,” kata Maznah.

Sehingga kini, UK melaporkan sejumlah 17,089 kes COVID-19 dengan 1,019 kematian manakala seramai 135 pesakit pulih.

Perdana Menteri UK Boris Johnson dan Setiausaha Kesihatan Matt Hancock juga dilaporkan positif dijangkiti COVID-19 dan kini dikuarantin.