BETONG: “Saya tidak malu meminta Adun Layar Gerald Rentap Jabu membantu penuntut Politeknik METrO Betong Sarawak (PMBS) yang tidak pulang… Alhamdulillah, dia setuju,” itu nada lega Pengarah Kolej Komuniti Betong Shairul Al-Suzana Shahidan selepas berjaya mendapatkan sumbangan untuk diagihkan.

Tindakannya bukan hendak ‘mendahului’ pihak PMBS sendiri tetapi rasa ingin membantu lebihlebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Alhamdulillah pasukan kita dari Kolej Komuniti Betong dapat membantu 99 penuntut PMBS yang tidak pulang.

“Mereka menerima barangan keperluan harian seperti beras, air minuman, telur, biskut, gula, mi dan sebagainya… sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang dihadapi ketika ini,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam. Jelasnya, usaha tersebut dibuat selepas pihak kolej difahamkan penuntut PMBS tidak mendapat apa-apa bantuan dalam tempoh PKP.

“Saya berterima kasih kepada Adun Layar Gerald Rentap Jabu dan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Dr. Richard Rapu yang membantu mendapatkan bantuan untuk kami. “Walaupun mereka penuntut PMBS, tetapi mereka masih anakanak yang sebumbung dengan kami iaitu di bawah kementerian yang sama.

“Tambahan pula apabila kita tolong orang lain, insya-Allah kemudian hari pasti orang akan menolong kita juga. “Lagipun inilah masanya untuk saya menerapkan nilai empati dan rasa tanggungjawab dalam kalangan kakitangan Kolej Komuniti… biar selepas ini apabila mereka berhadapan senario serupa, mereka akan lebih terbuka hati untuk membantu.

“Sejujurnya, saya gembira dapat membantu kerana saya percaya ia memberikan makna besar kepada anak-anak tersebut,” ujarnya. Kesemua mereka mengucapkan terima kasih kepada pemberi bantuan serta pasukan Kolej Komuniti yang menguruskan bantuan tersebut.

Suzana dalam pada itu berterima kasih kepada kakitangan Kolej Komuniti Betong yang tidak berat tulang menjayakan misi tersebut. Beliau turut mengakui dan memuji sikap prihatin wakil rakyat yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.