PUSA: “Kita bersedia bertindak mengikut situasi,” itu jaminan Adun Beting Maro Razaili Gapor terhadap rungutan rakyat di kawasannya yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan. Katanya, perkembangan dari semasa ke semasa akan sentiasa diteliti.

“Musibah ini masih di peringkat awal dan kita tidak mengetahui bila keadaan akan bertambah baik… boleh jadi lama atau sebaliknya. “Apa yang penting, semua pihak mematuhi PKP yang sekali gus dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19. “Bagaimanapun, kita akan meneliti perkembangan hari mendatang. Insya-Allah saya bersedia untuk bertindak mengikut situasi,” katanya dihubungi, semalam.

Jelasnya, rakyat perlu bertenang dan bersama-sama memikirkan tindakan yang patut diambil bagi menangani sebarang kesulitan. Beliau memuji inisiatif Jawatankuasa Pengurusan Masjid Beladin al-Amin dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Beladin yang telah menghulurkan sumbangan kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan ketika ini.

“Saya harap JKKK, Jawatankuasa Pengurusan Masjid atau Surau serta koperasi kampung masing-masing juga bertindak proaktif untuk menggembleng sumber sedia ada agar dapat membantu mereka yang kehabisan keperluan harian. “Dalam masa yang sama, kita mengharapkan ada lagi bantuan akan diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas ini,” ujarnya.

Razaili turut mengharapkan Kerajaan Sarawak dapat menyediakan peruntukan kepada wakil rakyat bagi membantu penduduk terjejas ketika ini. Beliau turut berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas peruntukan RM1.15 bilion termasuk RM250 sebulan (selama enam bulan) kepada golongan B40.