KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengisytihar tujuh bahagian negeri ini sebagai zon merah Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bahagian terlibat iaitu Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Kuching merekodkan 69 kes positif, Samarahan (16), Betong (8), Sarikei (6), Bintulu (5), Miri (9) dan Limbang (6),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Manakala, Uggah yang juga pengerusi JPBN berkata Serian, Sibu, Mukah, Matu, Lawas dan Simunjan diletakkan sebagai zon kuning.

Katanya Serian dan Sibu masing-masing merekodkan tiga kes positif manakala Mukah, Matu, Lawas dan Simunjan masing-masing satu kes.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hong dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar.