ORANG Inggeris mempunyai budaya mengingati salasilah individu yang menyumbang kepada sejarah hebat kerajaan melalui sistem pendidikan mereka. Contohnya, jika anda bertanya kepada rakyat Sarawak mengenai gabenor zaman kolonial, mereka mungkin hanya mengingati Sir Duncan George Stewart yang dibunuh Rosli Dhoby dalam insiden di Sibu pada Disember 1949.

Sekiranya anda bertanya mengenai gabenor tempatan, mereka mungkin akan mengingati sedikit mengenai Tun Abang Openg, Tun Tuanku Bujang, Tun Abang Salahuddin, Tun Ahmad Zaidi, Tun Abdul Rahman Yakub dan dan terkini Tun Abdul Taib Mahmud, dan dua daripadanya masih hidup.

Tun Taib yang akan menyambut ulang tahun ke-84 pada 21 Mei ini selepas tujuh tahun dan sehingga sekarang menjadi TYT, manakala Tun Salahuddin meraikan ulang tahun ke-99 pada 27 Ogos nanti. Namun siapa antara anda yang mengenali dan membaca kisah Tun Abang Openg, bapa kepada Ketua Menteri sekarang, Datuk Patinggi Abang Johari.

TUN ABANG HAJI OPENG

Beliau merupakan anak lelaki kepada penjawat awam Sarawak ketika era Brooke. Nama penuhnya Abang Openg Abang Sapiee merupakan seorang yang aktif dalam beberapa gerakan kemerdekaan Sarawak. Dilahirkan semasa era Rajah Putih kedua pada 7 Oktober 1905, Tun Openg menerima pendidikan awal di Kuching sebelum mengikut bapanya berpindah ke Sarikei.

Di Sarikei, beliau belajar di Sekolah St Anthony sebelum kembali ke Kuching untuk meneruskan persekolahan di sekolah malam St Thomas. Beliau merupakan pelajar yang bijak dan lulus cemerlang dalam peperiksaan.

Sebagai anak lelaki berusia 19 tahun daripada keturunan perabangan, Tun Openg memilih untuk menyertai pentadbiran Brooke sebagai kerani. Dalam tempoh lapan tahun perkhidmatannya, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Kanan Hal Ehwal Bumiputera di Sarikei. Beliau berusia 35 tahun ketika kerajaan pada masa itu melantiknya sebagai Majistret Kelas Ketiga.

Beliau menerima pelantikan khas Rajah Vyner yang kemudian dinaikkan pangkat menjadi Ahli Council Negeri atau Dewan Perundangan. Pada awal 1941, sebelum Perang Dunia Kedua, Tun Openg dinaikkan pangkat sebagai Majistret Kelas Kedua dan Pegawai Hal Ehwal Bumiputera Pertama Bahagian Kuching.

Beliau memegang prinsip memilih untuk setia kepada Kerajaan Brooke sehingga penyerahan Jepun pada bulan September 1945. Apabila Vyner memutuskan untuk menyerahkan Sarawak kepada Koloni British, Tun Openg dan dua pegawai Brooke, J.O. Gilbert – Residen Bahagian Keempat dan Kelima W.P.N.I Ditmas memutuskan untuk menentang keputusan itu.

Bersama-sama dengannya terdapat sembilan pegawai Brooke termasuk tujuh pegawai tempatan yang mengundi untuk menentang Rang Undang-undang Penyerahan dalam Council Negeri yang diadakan di Pavilion pada 15 Mei 1946. Bagaimanapun, apabila undian itu dilakukan, kumpulan antipenyerahan itu hanya mampu mengumpul 16 undi, tewas kepada 18 wakil yang dipimpin oleh Ketua Setiausaha J.B. Archer.

Apabila Sarawak secara rasmi diisytiharkan sebagai Koloni Mahkota pada 1 Julai, Abang Openg menyertai kumpulan antipenyerahan yang terdiri daripada guru dan penjawat awam, dan memulakan gerakan konfrontasi. Dalam tempoh krisis itu, sekitar 400 guru Melayu membentuk gerakan antipenyerahan dan Abang Openg tetap setia dengan prinsipnya sehingga terjadinya pembunuhan Gabenor Sarawak kedua, Sir Duncan Stewart di Sibu pada Disember 1949.

Dua tahun selepas itu, pada 1951, selepas kumpulan antipenyerahan berputus asa dengan perjuangan mereka, dan Abang Openg dilantik semula sebagai Ahli Majlis Tertinggi Negeri. Tahun seterusnya beliau dilantik sebagai seorang ahli Dewan Peperiksaan untuk pegawai kerajaan.

Sebagai bintang yang meningkat naik, Kerajaan British memutuskan untuk memberikan gelaran Datu – iaitu gelaran kepada penjawat awam yang setia, khas untuk masyarakat Melayu tempatan pada tahun 1952. Antara jawatan yang dipegangnya semasa bertugas dalam pentadbiran kolonial termasuklah sebagai anggota Majlis Penasihat Perbandaran Kuching (1953), Superintendan Penjara Sarawak (1954), Presiden Lembaga Majlis Islam Sarawak (1956) dan ‘Turtle Board and Turtle Trust (1957)’.

Selepas bersara pada 1958, beliau terus menjalankan kerjakerja sosial dan menjadi salah seorang pejuang kemerdekaan. Apabila Perdana Menteri Tanah Melayu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mencadangkan agar Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sarawak membentuk sebuah Persekutuan, Abang Openg terpilih sebagai salah seorang pemimpin Melayu tempatan yang terlibat secara langsung.

Pada tahun 1962, beliau dianugerahkan gelaran Order of the British Empire (OBE) setelah berkhidmat dengan Kerajaan Brooke dan British selama 30 tahun. Semasa lawatan Suruhanjaya Cobbold ke Sarawak untuk menentukan sama ada majoriti rakyat Sarawak menyokong cadangan untuk membentuk Malaysia, Abang Openg dipilih oleh Council Negri sebagai salah seorang perunding negeri.

Apabila Perjanjian Malaysia selesai pada bulan Julai 1963, beliau merupakan salah seorang wakil Sarawak yang hadir dalam mesyuarat itu.

Abang Openg kemudian dilantik sebagai Gabenor pertama Sarawak pada 16 September 1963 – pada hari yang sama Malaysia dibentuk. Beliau menggantikan Gabenor British yang terakhir, Sir Alexander Waddell. Abang Openg berkhidmat sebagai gabenor selama tujuh tahun sebelum meninggal dunia pada usia 64 tahun, pada 28 Mac 1969, meninggalkan isteri Toh Puan Hajah Masniah Abang Abdulrahim, empat anak lelaki dan enam anak perempuan.

Salah seorang anaknya, Abang Johari dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak pada 2016. Lebih dikenali mesra sebagai Abang Jo, beliau merupakan seorang yang cukup berpengalaman dalam politik Sarawak. Abang Johari berkahwin dengan salah seorang anak perempuan Gabenor Sarawak Tun Tuanku Bujang Tuanku Othman.

Anak lelaki lain beliau ialah Datuk Abang Karim — seorang tokoh korporat terkemuka di Sarawak, yang juga Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI).