KUCHING: Pasar Raya Mydin Petra Jaya di sini memberi jaminan bekalan makanan asas mencukupi dan harga kekal sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan. Pengurus Mydin Petra Jaya Stephen Jimbong menjelaskan perkara tersebut ketika lawatan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pasar raya ini, semalam.

“Ia membabitkan bekalan minyak masak, beras, gula dan sebagainya. “Bekalan makanan asas lain masih mencukupi dan setiap minggu kami akan menambah bekalan. “Sepanjang tempoh PKP ini, kami tidak membuat jualan murah dan mengekalkan harga seperti biasa,” katanya.

Bagaimanapun, Stephen berkata, untuk pembelian ba-rangan asas atau keperluan harian seperti beras, gula, minyak masak, terhad kepada dua barangan untuk seorang pelanggan sahaja. “Untuk keperluan lain seperti barangan bayi termasuk lampin pakai buang dan susu yang mencukupi,” ujarnya.

Menurut Stephen lagi, pembelian panik di sini hanya berlaku pada hari pertama PKP dilaksanakan iaitu 18 Mac lalu, manakala pada hari-hari seterusnya keadaan kembali seperti sedia kala. Mengulas mengenai pemeriksaan suhu di pasar raya tersebut, katanya, mereka hanya akan memeriksa pelanggan yang masuk ke kawasan pasar raya.

“Bahagian atas yang menjual keperluan lain seperti pakaian, beg dan sebagainya ditutup sepanjang tempoh PKP ini,” katanya. Sementara itu, medan selera beroperasi seperti biasa, tetapi menyediakan cuma pembelian bawa balik.

Katanya, kemudahan tersebut untuk memudahkan pekerja di pasar raya tersebut kerana ada bilik khas yang disediakan untuk makan. “Untuk penghantaran, kami menyediakan perkhidmatan sekiranya pelanggan membeli barang dengan kuantiti yang banyak namun untuk barangan kering sahaja,” jelasnya.