SIMANGGANG: Pengusaha kilang di bahagian ini dinasihatkan agar memastikan pekerjanya tidak berkumpul atau membuat aktiviti dalam kumpulan yang besar.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Kapten Huzaimah Ibrahim memberitahu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman memantau secara harian kilang untuk memastikan mereka mematuhi arahan.

“Pengusaha kilang juga digesa untuk mengasingkan pekerja yang demam atau memiliki simptom, dan seterusnya melakukan saringan segera. “Kita juga memeriksa suhu badan pekerja setiap hari dan senarai individu yang keluar masuk. “Paling penting, memastikan semua pekerja menjaga kebersihan diri, tempat kerja agar sentiasa sihat,” ujarnya.

Antara kawasan yang terlibat ialah Lachau, Melugu, Klauh dan Bandar Simanggang. Pemeriksaan ke atas kilangkilang di Sri Aman mendapati  kesemuanya memberi tumpuan serius terhadap aspek keselamatan dan kebersihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sejak pemantauan dibuat selari dengan penguatkuasaan PKP, setakat ini kesemuanya (11 kilang) mematuhi peraturan. “Mereka berusaha membeli segala peralatan pelindung diri seperti cecair pembasmi kuman, topeng muka, penyukat suhu digital untuk memastikan setiap pekerja dalam keadaan sihat dan bersih,” katanya di sini, semalam.

Jelasnya, APM turut menasihati kilang agar melarang orang luar memasuki kawasan mereka, termasuk membeku pengambilan pekerja baharu terutama tenaga kerja asing.