KUCHING: Sumbangan petugas barisan hadapan negara terus dihargai apabila Damai Beach Resort Kuching tampil menghulurkan sumbangan makanan kepada petugas keselamatan jalan raya di sekitar Kuching pada hari ke-12 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menurut Pengurus Besar Damai Beach Resort Kuching Muhammad Fadhil Abdullah, usaha tersebut antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya untuk membantu barisan hadapan ketika negara menghadapi ancaman Covid-19.

Jelasnya, Damai Beach Resort Kuching bekerjasama dengan sebuah bakeri tempatan menghulurkan bekalan makanan harian bagi petugas yang menjaga keselamatan jalan raya.

“Sehingga kini kita hantar bekalan makanan harian kepada lapan pusat rondaan sekatan jalan raya dan usaha ini kita teruskan bagi membantu mereka dua kali seminggu sepanjang PKP.

“Kita juga menghulurkan sumbangan ini kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dimaklumkan HUS menerima banyak sumbangan makanan daripada ramai pihak.

Maka, kita memfokuskan bantuan ini untuk petugas keselamatan di jalan raya ini,” katanya.

Terlibat sama sepanjang pengagihan tersebut ialah kakitangan dan pihak pengurusan Damai Beach Resort dan pemilik Panera Bakery and Cafe, Neilly Aouzurra Kassim.

Muhammad Fadhil menambah, melalui aktiviti CSR mereka ingin memastikan segala usaha dan keselamatan anggota pertahanan negara terus terjamin dan dihargai.

“Kepada rakyat yang kini terus berada di rumah, teruskan berada di rumah dan sentiasa menjaga kebersihan diri dan keluarga.

“Hargailah sumbangan petugas barisan hadapan negara yang berjuang untuk membantu memastikan kita semua selamat daripada wabak Covid-19 ini,” ujarnya.