KUALA LUMPUR: Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, terdapat beberapa golongan yang dikehendaki bekerja dari rumah bagi memastikan pengurusan syarikat tidak terganggu.

Bagaimanapun, realiti bekerja dari rumah ini merupakan cabaran besar terutama bagi wanita yang bergelar ibu dan mempunyai anak yang masih kecil.

Mana tidaknya, pada waktu sama mereka perlu bijak membahagikan masa bekerja dan menguruskan hal keluarga di lokasi yang sepatutnya menjadi tempat berehat selepas waktu kerja.

Berkongsi pengalaman, eksekutif kewangan, Nor Herdawati Abdul Rahman, 29, berkata cabaran terbesar bekerja dari rumah adalah untuk memastikan prestasi kerja kekal sama walaupun ‘ditemani’ anak di rumah.

“Bulan Mac merupakan KPI bulanan, jadi kena bijak bahagi masa untuk capai KPI dan menguruskan keperluan anak dalam tempoh bekerja dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang, terutama anak lelaki kedua berusia 20 bulan yang masih menyusu badan.

“Pernah ketika ‘on call’ dengan pelanggan anak meragam dan nangis nak susu, terpaksa terangkan kepada pelanggan dan alhamdulillah mereka memahami,” katanya yang kerap mengadakan telesidang bersama rakan sekerja dalam tempoh PKP ini.

Bagi memudahkan tugas, Nor Herdawati berkata beliau akan meminta bantuan suami untuk menjaga anak selain berusaha memasak makanan kegemaran dua anak lelakinya supaya mereka kenyang dan tidak meragam sepanjang hari.

“Saya juga membenarkan mereka menonton televisyen dan bermain permainan video yang bermanfaat sesuai dengan umur, jadi mereka boleh mengisi masa yang ada,” katanya.

Pegawai khidmat pelanggan Nor Khamisah Mohd Noor, 32, pula berpendapat bekerja dari rumah memerlukan bakat ‘multitasking’ sebenar kerana dalam tempoh bekerja itu juga beliau perlu memastikan keperluan anak seperti makan, minum dan penjagaan harian tidak terabai.

Beliau juga terpaksa ‘mencuri’ masa bekerja untuk menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan malam untuk tiga anaknya, masing-masing berusia 6 dan 3 tahun serta lapan bulan.

“Apabila bekerja dari rumah masa berlalu dengan cepat sampai tiada masa berehat kerana kalau di pejabat kita dapat satu jam rehat tetapi di rumah kerja hakiki tidak pernah habis.

“Pernah sampai terlupa mandi pagi kerana menguruskan hal kerja dan anak-anak. Malah saya pernah mengadakan mesyuarat telesidang sambil baring di atas katil kerana sedang cuba tidurkan anak,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Khamisah bersyukur masih mampu bekerja dalam tempoh PKP, selain menganggap tempoh itu adalah cara terbaik untuk ‘membayar’ semula masa bersama anak-anak yang ‘tertunggak’ ketika bekerja di pejabat sebelum ini.

Bagi pegawai eksekutif, Wan Nur Izah Wan Noordin, 29, pula beliau terpaksa menggunakan bilik tidur sebagai tempat bekerja bagi mengasingkan diri daripada diganggu oleh anak yang kini berusia 4 tahun.

Sekiranya usaha itu tidak berjaya, beliau akan memasang filem kegemaran anaknya itu bagi mengalih perhatian, selain memberi ganjaran jika anak lelakinya itu berkelakuan baik ketika beliau sedang bekerja.  – Bernama