WABAK Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa ini membuat beberapa penduduk Gedong mengimbau kembali zaman perintah pergerakan yang pernah mereka rasa ketika wabak taun melanda kampung itu pada Oktober 1991.

Perintah dan larangan yang dikeluarkan oleh kerajaan pada masa ini hampir sama dengan peristiwa apabila kawasan Gedong dilanda wabak taun atau kolera yang merbahaya itu. Kata penduduk, Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini bukanlah suatu yang baharu bagi penduduk di kawasan Gedong.

Ketika wabak kolera melanda Gedong, penduduk di kawasan berkenaan baharu sahaja merasai kegembiraan dan meraikan kemenangan calon BN Mohd Naroden Majais dalam Pilihan Raya Negeri ketika itu pada bulan September. Pada pilihan raya berkenaan, Datuk Mohd Naroden yang merupakan calon baharu BN bagi kerusi N.17 Simunjan berhadapan dengan tiga pencabarnya iaitu Parti Negara, Parti Permas dan seorang calon Bebas.

Untuk rekod, Naroden ialah Adun Gedong setelah kawasan pilihan raya negeri Simunjan dibahagi dua. Beberapa penduduk berkongsi momen perintah pergerakan pada masa itu berkata, pihak berkuasa berkunjung ke rumah jiran yang disahkan menghidap kolera, malah orang luar turut dilarang berkunjung ke Kampung Gedong.

Beberapa pelancong asing ketika berada di Kampung Gedong juga diarah keluar kampung. Langkah ini bagi mengekang penularan wabak taun daripada merebak kepada penduduk lain. Wabak disebabkan kualiti air di kawasan Gedong tercemar dengan bakteria sehingga menyebabkan penduduk cirit-cirit yang kronik.

Seramai 149 penduduk dikesan sebagai pembawa dan penghidap manakala 13 orang dimasukkan ke Hospital Daerah Serian. Bakinya ditempatkan di dua pusat penempatan atau kuarantin sementara, 75 ditempatkan di pusat Klinik Kesihatan Tebakang dan 61 ditempatkan SK Abg Kadir Gedong.

Namun ada juga penduduk yang meninggal dunia dan waktu itu, Gedong hanya mempunyai sebuah pusat kesihatan yang kecil dan tidak mampu menampung keperluan pesakit kerana tidak cukup peralatan perubatan dan kekurangan kakitangan.

Oleh disebabkan itu, mereka dijangkiti wabak dihantar terus ke hospital yang berhampiran seperti di Serian dan Tebakang untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kongsi Abang Josmani Abang Jemali, 67, ketika wabak kehidupan penduduk Gedong dalam keadaan tidak menentu apabila banyak aktiviti harian terpaksa ditangguh malah ada yang dibatal sepenuhnya.

“Ketika itu penduduk dilarang berkunjung ke kawasan yang disyaki punca wabak kolera . Mereka juga dilarang menggunakan air sungai Batang Sadong yang berhampiran untuk tujuan mandi dan mencuci makanan atau pinggan mangkuk.

“Selain itu beberapa majlis kenduri seperti acara keramaian seperti majlis perkahwinan dan tahlil arwah terpaksa dibatalkan. Malah ada majlis yang terpaksa diadakan di luar kawasan Gedong,” katanya. Kata Abang Josmani, beberapa kedai runcit dan gerai penjaja di Gedong diarah tutup sementara manakala penduduk sentiasa dinasihatkan supaya kerap meminum air yang dimasak sepenuhnya.

“Ketika itu pula penduduk di larang turun ke sungai untuk menangkap ikan dan udang, malah ikan atau udang yang diperoleh tidak dimakan kerana khuatiri membawa virus taun, “ katanya. Menurut Abang Josmani, ketika itu nama Kampung Gedong menjadi popular apabila wabak taun yang melanda kampung itu menjadi tajuk utama beberapa akhbar cetak tempatan, nasional dan siaran radio dan televisyen.

“Wabak taun yang melanda penduduk menjadi cabaran pertama Mohd Naroden yang baharu menggalas tanggungjawab sebagai Yang Berhormat. “Namun Alhamdulillah, wabak itu dapat ditangani daripada terus menular dalam masa yang singkat.