WASHINGTON: Makmal berpusat di Amerka Syarikat (AS) melancarkan kit ujian saringan mudah alih yang dapat mengenal pasti individu dijangkiti Covid-19 seawal lima minit.

Abbot Laboratories dalam kenyataan pada Jumaat berkata, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) memberikan kebenaran kecemasan supaya kit ujian itu dibekalkan kepada penyedia kesihatan seawal minggu depan.

Kit ujian yang menggunakan teknologi molekul itu membolehkan keputusan ujian negatif didapati dalam tempoh 13 minit, menurut syarikat itu dalam kenyataan.

“Pandemik Covid-19 dilawan dalam pelbagai cara dan ujian molekular mudah alih dengan keputusan dalam beberapa minit.

“Ia menambah keperluan dan penyelesaian diagnostik untuk memerangi virus ini,” kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Abbot, Robert Ford.

“Kit ujian bersaiz kecil bermaksud ia boleh digunakan di luar hospital yang dilanda wabak itu,” katanya sambil menambah Abbot bekerjasama dengan FDA untuk menghantar kit ujian itu ke pusat wabak.

Menurut syarikat itu, kit ujian itu belum mendapat kelulusan FDA dan hanya dibenarkan untuk kegunaan kecemasan oleh makmal yang diluluskan serta penyedia penjagaan kesihatan. – AFP