BINTULU: Sebagai agensi kerajaan dan ‘frontliners’ yang sentiasa berkhidmat untuk negara, anggota Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu tidak ketinggalan menyumbang bakti dengan menderma darah untuk kepentingan rakyat.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata aktiviti derma darah tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat APMM Zon Bintulu untuk membantu mengatasi kekurangan bekalan darah di Hospital Bintulu.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi mengatasi masalah penurunan bekalan simpanan darah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan.

Dengan adanya program seperti ini, pihak Maritim Malaysia berharap dapat membantu pihak hospital dalam meningkatkan simpanan darah sekaligus mampu menyelamatkan nyawa insan lain tanpa mengira bangsa dan agama, katanya pada program derma darah Maritim Zon Bintulu di Hospital Bintulu, hari ini.

Tambah beliau lagi, langkah keselamatan dan kesedaran COVID-19 turut dititikberatkan sepanjang program bagi mengurangkan risiko penularan wabak di mana petugas kesihatan melakukan saringan kesihatan terhadap anggota yang hadir sebelum proses derma darah selain mempraktikkan amalan penjarakan sosial.

Dalam pada itu, Sharef turut menasihati seluruh anggota masyarakat di negara ini terutama komuniti Maritim di Bintulu agar mematuhi PKP dengan sentiasa berada di rumah bagi membantu usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 selain sentiasa menjaga kebersihan.

Zon Maritim Bintulu juga berharap komuniti maritim terutamanya di daerah Bintulu mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan mematuhi semua arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dikuatkuasa, ujarnya lagi.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan kemalangan di laut secara terus ke talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254.