GEDONG: Jawatankuasa Masjid Hayatul Islam Kampung Lubuk Punggor dekat sini mengagihkan bantuan makanan kepada 110 keluarga isi rumah di kampung itu semalam.

Bantuan itu disediakan bagi meringankan beban penduduk yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Pengerusi Masjid Hayatul Islam, Kampung Lubuk Punggor Razak Seman berkata, bantuan adalah untuk penduduk Kampung Lubuk Punggor yang tinggal di rumah dan menetap di kampung ini sahaja. Antara bahan makanan yang diagihkan ialah beras, gula, tepung dan serbuk minuman.

Menurutnya, meskipun dana pada tabung masjid tidaklah seberapa, namun usaha perlu dilakukan bagi membantu penduduk yang perlukan bantuan. “Sumbangan ini adalah untuk membantu meringankan beban penduduk yang terjejas ketika wabak ini melanda,” katanya semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis Daearah Simunjan Kaunselor Mohd Izzuddin Abdullah berbangga kerana penguatkuasaan PKP di Kampung Lubuk Punggor mendapat sambutan daripada penduduk.

“Semua penduduk Kampung Lubuk Punggor memahami tujuan PKP dikuatkuasakan dan, mereka sentiasa berada di dalam rumah dan hanya keluar jika ada keperluan yang amat mendesak seperti membeli makanan dan ubat untuk keluarga,” katanya.