BINTULU: Aktiviti menangkap ikan di laut bagi nelayan tradisional Kelas A, B dan C boleh diteruskan untuk memastikan bekalan ikan negara mencukupi.

Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Setia Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu Leftenan Komander Maritim Mohamad Raimi Mohamad Nor berkata, mereka harus mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Nelayan disarankan mengamalkan langkah menjaga kebersihan dengan betul seperti yang disarankan KKM.

“Sebarang aktiviti rekreasi seperti di pesisir pantai dan aktiviti rekreasi di laut seperti memancing juga tidak dibenarkan,” katanya kepada media usai Operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid19 APMM dan Pasukan Polis Marin (PPM) Bersama Media di Kampung Jepak, di sini semalam.

Raimi menasihati orang awam terutama nelayan di laut sepanjang tempoh PKP, menghubungi Maritim Malaysia Zon Bintulu jika terdapat sebarang perlanggaran undang-undang atau kejadian kecemasan di laut.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia membantu kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.