KUCHING: Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk memastikan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu mencapai matlamat dan memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, jawatankuasa itu diletakkan di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Persekutuan. “Kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas dana tambahan yang diumumkan bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh dua minggu lagi ekoran wabak Covid-19.

“Saya mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang berjumlah RM1.15 bilion kerana mengambil kira PKP hanya dua minggu sahaja namun kini dilanjutkan hingga sebulan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau stok bekalan makanan di Pasar raya Ta Kiong di The Spring di sini baru-baru ini.

Tambah Abang Johari, dengan bantuan Kerajaan Persekutuan, maka ia amat meringankan beban setiap negeri. “Bagaimanapun, kita akan membuat kajian semula dengan mengambil kira kepentingan individu yang hilang pekerjaan dan kaedah terbaik untuk bayaran balik pinjaman.

“Ini kerana lanjutan PKP untuk tempoh dua minggu lagi menjejaskan ramai peniaga kecil,” tegasnya. Dalam pada itu Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak akan berusaha mengawal harga keperluan asas yang dibantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Maka, kita mintapembeli keluar seorang sahaja bagi setiap isi rumah untuk mendapatkan bekalan makanan dan yang lainnya tinggal di rumah. “Ini amat penting untuk kita memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19,” ujarnya.

Katanya, sekiranya PKP dipatuhi dengan sewajarnya oleh rakyat Sarawak, maka, kehidupan seharian boleh kembali seperti biasa.