KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lepas, turut memberi impak kepada Zoo Negara apabila terpaksa menggunakan tabung kecemasannya untuk meneruskan operasi.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly Ahmat Lana berkata keadaan haiwan-haiwan di zoo itu masih dalam keadaan baik.

“Penutupan sementara sepanjang tempoh PKP adalah cabaran yang besar bagi menampung kos operasi Zoo Negara Malaysia.

“Hal ini kerana Zoo Negara memperoleh pendapatan daripada penjualan tiket masuk, sewaan tempat acara, tajaan syarikat dan sumbangan orang ramai,” kata beliau.

Menurut Rosly, setakat ini tiada mana-mana badan tertentu yang datang memberikan dana kepada Zoo Negara ketika tempoh PKP ini.

“Dalam menghadapi tempoh PKP ini, pihak kami menggunakan tabung kecemasan yang sedia ada,” kata Rosly lagi.

Tabung kecemasan ini adalah peruntukan yang telah diwujudkan khusus oleh pihak pengurusan Malaysian Zoological Society (MSZ) untuk keadaan seperti di luar jangka ini.

“Walaupun stok makanan untuk haiwan setakat ini mencukupi kerana penghantaran makanan haiwan oleh kontraktor yang dilantik masih berterusan dan tidak terjejas, tetapi tabung kecemasan itu hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja” katanya.

“Jika masyarakat ingin menyumbang, kami sangat mengalu-alukan sumbangan itu dengan menyertai kempen Adopt An Animal,” jelas beliau lagi.

Menurut Rosly, kempen Adopt An Animal ini adalah pakej yang dilaksanakan oleh kebanyakan zoo di seluruh dunia bagi menambahkan pendapatan.

Pendapatan itu digunakan bagi belian bekalan makanan, ubat-ubatan dan kebajikan haiwan-haiwan.

Mereka yang mahu menyumbang boleh melayari https://www.zoonegaramalaysia.my/adopt.html untuk maklumat lanjut.– BERNAMA