BINTULU: Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac sehingga 14 April, kerajaan memutuskan untuk meluaskan Program Bank Makanan Malaysia ke seluruh institusi pengajian tinggi.

UPM Kampus Bintulu tidak ketinggalan memperluaskan program tersebut kepada pelajarnya. Ketua Hal Ehwal Pelajar UPM Kampus Bintulu, Dr Kamil Latif berkata inisiatif Food Bank Siswa berkonsepkan daripada pelajar kepada pelajar itu mengalu-alukan penglibatan pelajar untuk sama-sama membantu golongan memerlukan.

“Kerajaan ingin memastikan pelajar sebagai pelapis masa depan negara dapat menimba lebih banyak pengalaman dalam pelaksanaan program kebajikan seperti ini.

“Ia juga bagi memupuk semangat sukarelawan, di samping dapat bergiat aktif dalam aktiviti yang dijalankan di universiti,” katanya pada penyerahan sumbangan barangan keperluan asas oleh KPDNHEP Cawangan Bintulu, semalam.

Antara barangan yang disampaikan ialah beras, gula, minyak masak dan barangan kegunaan peribadi hasil sumbangan pengusaha stesen minyak Petronas dan pemborong barang kawalan tempatan di Bintulu.