KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan berjumlah RM16.4 juta untuk membekalkan makanan asas kepada golongan sasaran di seluruh Sarawak.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, golongan sasaran yang dibekalkan dengan makanan asas ini akan ditentukan oleh Jawatankuasa Bencana Bahagian/ Daerah dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, pusat khidmat Adun dan NGO yang relevan.

“Ia boleh merangkumi ketua isi rumah di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk golongan miskin bandar dan mereka yang kehilangan pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan di sini, hari ini.

Beliau menambah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah diminta untuk memastikan bekalan makanan mencukupi di setiap 800 buah pusat jualan/ kedai runcit di seluruh negeri ini.

Selain itu, katanya harga makanan mestilah dikawal mengikut harga borong dan semua pusat jualan/ kedai runcit dibenarkan beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 4 petang.

Pada masa sama, Awang Tengah berkata semua pengangkutan yang membawa bekalan makanan akan dibenarkan oleh polis untuk membuat penghantaran ke seluruh Sarawak tanpa sekatan.

“Kerajaan akan menggunakan semua sumber pengangkutan seperti tentera dan bomba bagi penghantaran makanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman yang jauh dan rumit seperti Belaga, Baram, Bario, Batang Ai, Kapit, Ba’Kelalan dan Long Semadoh.

Beliau berkata Jawatankuasa Bencana Bahagian/ Daerah akan mengenalpasti pusat pengagihan di setiap bahagian dan daerah, bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, pusat khidmat Adun dan NGO yang relevan untuk memastikan pengagihan makanan diselaraskan dengan teratur dan kepatuhan kepada PKP.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian.