SARAWAK menyambut baik penangguhan Sukma 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 11 Julai hingga 19 Julai depan ekoran wabak Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan untuk menangguhkan temasya Sukma memang sudah dijangka memandangkan keadaan semasa dan risiko kesihatan yang berkaitan dengan penyebaran virus Covid-19 amat membimbangkan.

Penularan wabak itu juga turut memaksa penangguhan Sukan Olimpik musim panas tahun ini yang dijadualkan diadakan di Tokyo, Jepun pada bulan Ogos depan. “Kita dimaklumkan mengenai perkara tersebut semalam selepas mesyuarat persidangan mengunakan video yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Seperti yang telah saya sebutkan semasa sidang akhbar pada 13 Mac lalu mengenai penangguhan dan acara sukan di negeri ini, Keputusan untuk menangguhkan Sukma terletak di tangan Jawatankuasa Tertinggi Sukma dan kita menerima baik penangguhan itu,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata, pihak kementerian melalui Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan Negeri Sarawak(MSNS) akan memaklumkan semua persatuan mengenai perkara tersebut kepada 837 atlet, jurulatih dan pegawai tempatan mengenai perkembangan terkini Sukma 2020.

“Setakat atlet kita semua berada dalam keadaan baik dan diminta untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) untuk mengelakkan risiko mendapat jangkitan oleh Covid-19. Mereka juga mematuhi perintah dengan tidak pergi ke gimnasium atau menggunakan latihan kemudahan di sana,” katanya lagi.

Beliau menambah, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan atlet Sarawak sentiasa menjadi perhatian utama kementeriannya dan telah bekerjasama rapat dengan SSC dan MSN Sarawak untuk memastikan mereka berada dalam keadaan kesihatan yang terbaik.