KUCHING: Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan untuk mengangkut bekalan makanan di kawasan pedalaman seluruh negeri ini. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perbincangan telah diadakan bersama-sama angkatan tentera dan bomba yang akan bekerjasama dengan Pejabat Residen dan Bencana Daerah.

“Kita faham masalah dihadapi oleh penduduk pedalaman terutamanya yang masih bergantung kepada jalan darat apabila bot ekspres tidak dapat beroperasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Maka, kita bekerjasama dengan pasukan keselama untuk mengangkut bekalan makanan kepada penduduk di Song, Belaga, Bario, Baram, Pulau Bruit dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersama-sama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meninjau stok bekalan makanan di pasar raya Ta Kiong di The Spring di sini semalam.

Awang Tengah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan semasa PKP dikuatkuasakan ekoran Covid-19 menambah, terdapat pusat jualan di setiap tempat di kawasan luar bandar bagi membolehkan bekalan makanan diangkut.

“Oleh itu, kita akan mempercepatkan pengangkutan bekalan makanan di kawasan pedalaman dengan bantuan tentera. “Kita tidak menolak kemungkinan untuk mengangkut bekalan makanan menggunakan helikopter di kawasan yang tidak mempunyai sebarang akses,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencapai kata sepakat bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan setiap pusat jualan mempunyai bekalan mencukupi.

“Malah, kita diberi taklimat  secara umum oleh KPDNHEP yang bekalan makanan mencukupi untuk tempoh tiga bulan lagi. “Saya juga menggesa kementerian ini untuk meningkatkan stok bekalan makanan terutamanya diagihkan ke kawasan luar bandar,” ujarnya.