KABONG: Nang sik sangkak jadi tular. Namun kamek syukur, orang rami nerimak secara positif – kata Pembantu Penerangan di Pejabat Penerangan Daerah Saratok Ainie Elah, 46, (gambar) selepas video pesanan khidmat masyarakat yang disampaikannya menggunakan dialek Kabong menjadi tular di media sosial.

Menerusi video yang dirakam Juruaudio Visual Macellus Andam berdurasi satu minit 48 saat pada 27 Mac lalu, Ainie atau juga dikenali sebagai Kak Kenanga berpengalaman 19 tahun mengambil inisiatif sendiri dengan menggunakan dialek Kabong.

Beliau bersama-sama pasukannya ketika itu sedang membuat hebahan umum dalam satu program Info On Wheels berhubung wabak Covid-19 di pekan Kabong. “Kebetulan pesanan ini dibuat di Kabong dan saya juga anak jati Kabong sungguhpun lama berada di tempat orang.

“Maka saya fikir, apa salahnya menggunakan dialek ibunda untuk memastikan apa yang disampaikan meresap ke hati seterusnya difahami semua terutama warga emas. “Itu sahaja niat saya dan skrip saya olah sendiri dan tidak menyangka ia menjadi tular.

“Sungguhpun tiada arahan, tetapi saya mahu penduduk setempat lebih faham. “Justeru, saya berterima kasih kepada Pegawai Penerangan Daerah Saratok Florence Sebastian Unting yang menyokong serta mempercayai usaha dan kreativiti kami untuk memastikan objektif tercapai,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Beliau yang pernah bertugas di Sibu dan Sarikei sebelum ini mengakui agak terkejut melihat video tersebut dikongsi banyak pihak. “Tetapi apabila melihat penerimaan masyarakat, Alhamdulillah. “Pada mulanya saya sedikit takut diketawakan, risau bahasa salah… tetapi niat hendak mencuba itu sangat kuat.

“Insya-Allah pada masa akan datang saya berusaha untuk meneruskan dialek tempatan,” ujarnya. Ditanya tentang penerimaan masyarakat berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kenanga menyatakan rasa puas hati dan kebanyakan kawasan begitu tenang sepenjang tempoh penguatkuasaan.

Sementara itu bagi Florence, pendekatan menggunakan dialek tempatan dalam menyampaikan PKP supaya masyarakat mudah faham. Pihaknya selama ini sememangnya menggunakan empat bahasa untuk hebahan awam iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Iban dan Mandarin.

Justeru, beliau melahirkan sedikit kebimbangan kerana masih terdapat segelintir remaja yang suka merayau-rayau sepanjang PKP. “Dalam situasi sekarang, kerjasama masyarakat amat penting.

“Peranan ketua keluarga, ibu bapa amat diharapkan untuk membantu memantau dan menasihati anak-anak remaja masing-masing supaya tidak keluar rumah.

“Pematuhan terhadap arahan PKP dapat menangani penyebaran virus sekali gus memutuskan rantaian Covid-19. “Akhirnya kelak kita dapat kembali menjalani kehidupan normal,” jelasnya.