KUCHING: Seorang pensyarah Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Unimas meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 2.20 pagi tadi.

Berita berkenaan disahkan oleh isterinya dan beberapa kakitangan Unimas menerusi laman sosial Facebook masing-masing.

Pada 22 Mac lalu, Unimas mengesahkan salah seorang kakitangan akedemiknya diuji positif Covid-19 pada 21 Mac.

Berikutan itu, Unimas memberi jaminan untuk mengambil langkah segera.

Unimas menerusi satu kenyataan memaklumkan mereka melakukan pengesanan secara terperinci, khususnya bagi yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan.

Jelas kenyataan itu, kontak rapat yang dikenal pasti diminta untuk melaporkan diri sendiri ke Pusat Kesihatan Unimas (PKU) untuk saringan simptom Covid-19 dan dikuarantin secara sukarela selama 14 hari sejurus selepas saringan.