KUCHING: Sebanyak empat kes kematian daripada 191 jumlah akibat kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang tempoh pelancaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 sehingga 29 Mac, tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, jumlah tersebut sekaligus menunjukkan penurunan kes berbanding tempoh sama pada tahun 2019 sebanyak 659 kes.

Menurutnya, statistik jumlah keseluruhan kemalangan pada tempoh 18 sehingga 29 Mac 2020 berbanding tahun lalu merekodkan penurunan sebanyak 71 peratus.

“Kemalangan kenderaan rosak merupakan kategori tertinggi dengan jumlah 179 kes, diikuti kemalangan ringan(5), maut(4) dan parah sebanyak 3 kes,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau turut menyeru agar orang awam turut mematuhi arahan kerajaan terhadap PKP bagi sama-sama membendung wabak Covid-19 daripada terus menular.

“Saya percaya virus ini akan dapat dibendung sekiranya semua ahli masyarakat memberi kerjasama kepada seruan kerajaan untuk tidak keluar rumah kecuali atas urusan penting sahaja,” ujarnya.