JANGKITAN virus yang merayap ke serata dunia telah pun wujud sejak 165 Masihi, yang meragut sekitar lima juta nyawa penduduk dunia. Ia bermula daripada angkatan tentera Rom, Itali, yang merebak selepas berperang dengan Kerajaan Mesopotamia.

Pada 1345-1353 pula, ia lebih dahsyat, sekitar 75 juta penduduk global maut diserang virus yang digelar The Black Death yang menghantui dunia sepanjang lapan tahun. Ia berpunca daripada tikus yang membawa kuman melalui perdagangan di lautan, kemudiannya menular ke daratan.

Sesudah itu, selang 100 tahun, dunia dilanda pelbagai wabak penyakit daripada virus, sehinggalah menjelmanya virus moden seperti SARS, H1N1, ebola, selesema burung dan seumpamanya.

Terkini Covid-19 yang bermula di Wuhan, wilayah Hubei, China, Disember lalu. Kalau kita melihat dari sudut sejarah, apa yang melanda dunia sekarang ini, bukanlah sesuatu yang baharu.

Kini penduduk di seluruh dunia sedang bertarung dengan Covid19, yang entah bila akan ditewaskan.

Negara yang paling teruk dilanda, Itali, kini bagaikan sudah putus harapan setelah gagal memutuskan rantaian jangkitan, menyebabkan 10,023 rakyatnya terkorban.

Dengan 92,472 kes setakat ini, dan 3,856 kritikal, Itali bakal menyaksikan ribuan lagi nyawa akan lenyap dalam tempoh terdekat. Walaupun kita di Malaysia, masih berada dalam keadaan terkawal dengan hanya 34 kematian, namun usaha perlu diteruskan.

Oleh itu, lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan, merupakan satu lagi langkah drastik terbaik yang diambil oleh pihak kerajaan, demi keselamatan dan kesihatan individu, keluarga, rakyat, masyarakat, negeri dan negara.

Kebanyakan negara yang terkesan, mengambil langkah tersebut, termasuk negara besar seperti India. Negara yang mempunyai jumlah penduduk hampir menyamai China itu (lebih satu bilion) terpaksa berbuat demikian, mewajibkan perintah berkurung, memberhentikan segala aktiviti harian, termasuk urusan penjaja di jalanan yang menjadi sumber pendapatan utama jutaan penduduknya.

Malah ribuan rakyat yang tinggal di pusat bandar terpaksa balik kampung dengan berjalan kaki, merentasi ranjau sepanjang jalan, yang jaraknya ratusan kilometer, mengambil masa sehingga seminggu atau dua minggu lebih, kerana sistem pengangkutan turut dihentikan.

“Kami bergerak pada malam Selasa dan masih lagi berjalan kaki pada hari Sabtu untuk sampai ke destinasi,” kata Ravinkar, salah seorang penjaja jalanan. Mereka berbuat demikian kerana tidak sanggup untuk berkurung di dalam rumah kecil di pusat bandar dengan keluarga ramai dalam keadaan sumber makanan amat terhad, malah ada keluarga yang langsung tidak ada makanan.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersyukur, kerana tidak perlu melalui apa yang telah dirasai oleh rakyat di India. Malah kita juga mendapat pelbagai bentuk bantuan daripada pihak kerajaan yang prihatin, terutama golongan yang terjejas melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.

Tiada rakyat yang tercicir. Malah kita juga mendapat bantuan daripada badan-badan amal, NGO dan individu yang pemurah. Dengan tempoh PKP dilanjutkan, inilah masa terbaik untuk kita memanfaatkan masa bersama-sama keluarga di rumah walaupun rutin kehidupan berubah 360 darjah.

Perancangan atau penjadualan kegiatan harian amatlah penting agar masa yang terluang terisi sepenuhnya dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat.

Misalnya membaca buku, menulis, mengaji, membersihkan rumah, belajar memasak, melukis, berkebun dan pelbagai lagi aktiviti bermanfaat yang boleh mengisi ruang waktu.

Ia penting agar kita tidak bosan menempuhi hari-hari yang kosong. Bagi mereka yang berkemampuan, inilah masa yang sesuai untuk bersedekah, beramal, membantu golongan yang memerlukan, sama ada dalam bentuk wang ringgit, barangan makanan keperluan asas atau khidmat nasihat.