KUCHING: Sarawak tidak akan mengikut waktu sekatan yang ditetapkan pada jam 8 malam hingga 8 pagi bagi semua perniagaan di bawah fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata kerajaan negeri akan kekal kepada sekatan harian selama 12 jam iaitu dari 7 malam hingga 7 pagi.

“Ini memandangkan jika kita mengubah waktu, ia boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan orang awam dan gangguan kepada operasi perniagaan terutama yang ada dalam sektor logistik dan pengangkutan,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, katanya tanpa mengira apa sekatan masa yang dikenakan, matlamat negeri ini tetap sama.

“Kami mahu orang tinggal di rumah. Ini akan membolehkan kita menghentikan penularan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) kini sedang mencari untuk menubuhkan lebih banyak pusat kuarantin di Kuching.

Katanya antara lokasi yang dicadangkan ialah Institut Latihan Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Amiruddin Baki, Akademi LHDN dan Akademi Latihan Kastam.

Pada masa ini, pusat kuarantin Covid-19 di Kuching terletak di Institut Kemajuan Luar Bandar (Infra) Kampus Sarawak, Institut Pentadbiran Awam Negara (Intan) Sarawak dan Institut Latihan Guru Tun Abdul Razak.