“Ibarat berada di medan perang”.

Mungkin tidak keterlaluan memberi gambaran ini untuk situasi yang perlu dihadapi oleh barisan petugas kesihatan dalam ketika negara berhadapan dengan penularan wabak penyakit COVID-19.

Berisiko untuk dijangkiti virus maut ini namun semangat mereka tetap kental untuk memberi rawatan terbaik kepada pesakit COVID-19.

Ketika orang lain santai di rumah, menonton televisyen, bergembira bersama keluarga, atau pun bertugas dari rumah kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasukan petugas ini bagaikan berada di “medan perang” . Mereka terpaksa melawan “musuh” yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan nyawa orang lain.

Risiko mereka terdedah pada virus yang boleh membawa maut senantiasa ada ditambah pula dengan skala waktu kerja tanpa henti. Letih, lesu, tekanan, tidak perlu diulang kerana itulah hakikatnya. Saban hari ada sahaja kes COVID-19 yang baharu, sehinggakan ada yang terpaksa bekerja lebih masa.

Malah, gambar para petugas kesihatan yang tertidur di kerusi, lantai hospital akibat keletihan yang tular di media sosial sangat memilukan.

Terbaharu, satu video berdurasi 4.34 saat yang bertajuk “Dengar Doktor Menangis Terlalu Penat” di Facebook yang merayu orang ramai untuk beri kerjasama duduk di rumah sepanjang tempoh PKP, begitu meruntun hati sebahagian besar masyarakat.

Video yang dikongsi seramai 165,000 netizen setakat jam 12.32 tengah hari 24 Mac lepas, memaparkan pengorbanan besar petugas kesihatan untuk menyelamatkan nyawa pesakit, ada yang kelihatan begitu keletihan dan ada juga yang sedih tidak dapat menunaikan solat di awal waktu.

Sememangnya, segala keringat perih mereka ini tidak terhitung nilainya. Namun begitu, sebagai manusia biasa, mereka juga tidak terkecuali untuk berasa terkilan dengan sikap pentingkan diri segelintir masyarakat.

Dalam video itu, kedengaran sungguh jelas suara kesedihan meluahkan rasa kekecewaan dengan sikap beberapa individu yang tidak jujur ketika datang untuk mendapatkan rawatan dengan menyembunyikan maklumat berkaitan COVID-19.

“Lebih teruk, ada yang degil dan menipu. Ada yang kontak terus dengan pembawa COVID-19 enggan mengaku. Datang ke hospital tidak jujur bercerita dan setelah mereka disahkan COVID-19 positif, menangis doktor yang merawat mereka.

“Kini mereka pula yang kena kuarantin. Sedarlah semua. Ada nurse yang mengandung menangis teruk selepas ada kontak terus dengan pesakit yang kononnya demam biasa dan tiada hubungan dengan pembawa COVID-19. Kasihanilah mereka,” antara intipati mesej video tersebut.

Untuk rekod, setakat tengahari 30 Mac, 91 orang pesakit COVId-19 pulih dan discaj, menjadikan jumlah kumulatif pesakit Covid-19 yang pulih adalah 479 kes.

Sebanyak 156 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini meningkat kepada 2,626 kes. Angka kematian meningkat kepada 37 apabila tiga kematian baharu direkod. Seramai 94 orang pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pastinya, perkembangan penyakit Covid-19 ini menakutkan mereka. Seperti mana anda semua, mereka juga mempunyai keluarga dan situasi itu tentunya memberi tekanan buat wira dan wirawati ini.

Apatah lagi, dengan penambahan kes saban hari membuatkan pasukan barisan hadapan ini juga tidak terkecuali berhadapan dengan keadaan lesu upaya. Sebagai manusia biasa, mereka juga sangat memerlukan sokongan moral dan motivasi sepanjang tempoh yang sangat kritikal ini.

Istimewanya, di sebalik masih ada yang degil tidak mahu mematuhi peraturan PKP, realitinya ramai daripada kita tidak mahu ketinggalan untuk menghulurkan pelbagai sumbangan sebagai menghargai khidmat bakti pasukan petugas kesihatan ini.

Amalan murni, ‘menderma’ yang terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia tidak senyap atau terhenti begitu sahaja sepanjang tempoh PKP. Bahkan, ia semakin berkembang mekar apabila ramai yang berganding bahu, tanpa mengira bangsa atau kedudukan, bersama-sama pasukan fontliners ini, menggalas satu misi iaitu untuk memerangi COVID-19.

Pelbagai cara dilakukan bagi menzahirkan rasa terima kasih serta penghargaan buat pejuang negara ini. Ada yang memasak sendiri makanan untuk diberikan kepada para petugas, sementara ada pula yang menyumbangkan peralatan yang diperlukan hospital.

Malah, ada  beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menubuhkan tabung khas, mengutip derma untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan bantuan dalam keadaan yang penuh kepayahan ini. Pada pek makanan yang disumbangkan, turut diselitkan kata-kata semangat.

Paling istimewa, apabila kesukaran petugas hospital ini turut mendapat perhatian jitu daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut berkenan menyajikan beberapa jenis masakan hasil air tangan baginda yang diserahkan kepada beberapa buah hospital.

Antaranya, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), KKM di Putrajaya.

The least I could do..for the government servants sacrificing their lifes..I salute them,” titah Raja Permaisuri Agong, menerusi hantaran di Instagram baginda pada satu gambar yang memaparkan kakitangan hospital begitu gembira dan berterima kasih atas sumbangan tersebut.

Tidak terkecuali, pelbagai NGO mahupun peniaga makanan turut sama tampil menggerakkan kerja mulia ini bersama orang ramai dengan menghulurkan sumbangan pek makanan kepada petugas kesihatan.

Misalnya, RM5 Everyday Lunch, perusahaan perniagaan penghantaran makanan di Facebook yang diusahakan sejak empat tahun lepas oleh Rozaidah Zainal Abidin turut menjadi perhatian orang ramai yang mahu menderma.

“Selepas kami membuat satu posting menghantar makanan kepada barisan hadapan kakitangan yang mengendalikan kes wabak COVID-19 di Hospital Sungai Buloh, kami mendapat maklum balas sangat positif, ramai yang ingin menghulurkan sumbangan serta bantuan tetapi tidak mengetahui caranya.

“Kami telah menghubungi pihak yang mengendalikan sumbangan kepada hospital dan klinik yang terlibat dengan kes Wabak COVID-19. Banyak sumbangan diperlukan termasuklah makanan,” katanya dalam status di laman sosialnya itu.

Antara individu lain yang turut tampil menghulurkan sumbangan ialah pendakwah Ustaz Ebit Lew. Melalui paparan di Facebook, beliau bergerak ke beberapa tempatan untuk meyampaikan sendiri sumbangan beliau termasuk derma orang ramai menerusi Pertubuhan Kasih Umat Malaysia.

Antara yang disumbangkan ialah beberapa unit pendingin hawa bergerak untuk Hospital Ampang, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Klang dan Hospital Shah Alam. Barangan lain yang disumbangkan termasuk topeng muka dan makanan di samping tidak putus-putus mendoakan pasukan petugas dan semuanya agar dilindungi daripada wabak berkenaan.

Menariknya, ada juga yang tidak terkecuali menawarkan perkhidmatan menjaga anak pasukan barisan hadapan ini secara percuma seperti yang dilakukan oleh pasangan guru dari Seremban.

Guru pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Pantai, Seremban, Kamal Ismail, 50,  dan isterinya, Noraini Mohamed Kassim (guru Pendidikan Seni dan Sains), 47, bersimpati dengan petugas tersebut yang berhadapan kesukaran menguruskan anak disebabkan kekangan waktu selain taska ditutup.

Perkhidmatan yang ditawarkan itu tidak mengira bangsa, agama turut menyediakan tempat tinggal, makan minum serta bagi yang beragama Islam akan diajar mengenai ilmu agama.

Manakala, Yayasan Petronas, cabang tanggungjawab sosial korporat Petronas juga menyumbang peralatan dan bekalan perubatan bernilai RM20 juta untuk membantu petugas barisan hadapan hospital dan penjaga kesihatan untuk mengurangkan penularan penyakit COVID-19.

Istimewanya, bantuan dihulurkan ini bukan sahaja daripada masyarakat kita bahkan juga warga asing. Sekumpulan pelarian dari Syria, Palestin, Yaman dan Iraq yang menetap di negara ini berganding bahu menyediakan makanan untuk petugas kesihatan di Hospital Ampang.

Dipetik dalam satu laporan akhbar, inisiatif hasil kerjasama antara Al-Hasan Volunteer Network dan Beyond Borders Malaysia ini dijadual menghantar makanan untuk 20 petugas itu bermula Isnin 23 Mac sehinggalah 31 Mac ini.

Bantuan juga melepasi sempadan apabila keakraban Malaysia dengan beberapa negara memudahkan negara ini menerima bantuan dalam usaha memerangi COVID-19 yang semakin membimbangkan. Misalnya, negara China menghulurkan bantuan peralatan perubatan seperti topeng muka, COVID-19 ‘test kits’ dan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan petugas kesihatan.

Semuanya ini untuk satu tujuan, bersama bersatu memerangi COVID-19!

Kita mampu melakukannya.

(Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis)

Disunting oleh Melati Mohd Ariff