Lepasan SPM perlukan bimbingan

TAHNIAH kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang diumumkan baru-baru ini, lebih-lebih lagi bagi pelajar cemerlang yang mempunyai latar belakang keluarga serba kekurangan.

Saban tahun, pelajar cemerlang akan menjadi tumpuan lensa kamera, sama ada untuk media cetak, media elektronik mahukan media digital. Kejayaan mereka wajar dikongsi bersama, setelah berusaha keras memerah otak dan berkorban masa.

Malah setiap tip kejayaan mereka akan menjadi panduan dan inspirasi calon-calon baharu SPM. Jika dahulu, keputusan SPM dinilai berdasarkan gred atau agregat. Misalnya, sering kali timbul pertanyaan; “dapat gred berapa, berapa agregat?”.

Ada yang menjawab; “dapat gred 1 dengan agregat 16, dapat gred 2 dengan agregat 27 atau gred 3 dengan agregat 38.” Tetapi zaman itu sudah berlalu. Sekarang ini pertanyaan seperti itu tidak relevan lagi, sebaliknya timbul pertanyaan; “dapat berapa A atau berapa A+?”

Ini menunjukkan semakin ramai pelajar cemerlang di negara kita, dan pada masa yang sama persaingan untuk mendapat tempat di institusi pengajian tinggi semakin sengit. Bagaimanapun, ia adalah lumrah bagi sesebuah negara yang mengalami transformasi dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial dan politik, sesuai dengan peredaran masa dan zaman.

Bagaimana pula dengan pelajar yang hanya mendapat keputusan sederhana, buruk atau dalam erti kata mudah, gagal? Sudah pasti, pintu institusi pengajian tinggi tertutup rapat bagi mereka. Jumlah pelajar dalam kelompok ini tentunya jauh lebih ramai daripada jumlah pelajar cemerlang.

Namun mereka adalah sebahagian daripada rakyat yang bertanggungjawab untuk membentuk masa depan negara bangsa.

Seperti yang kita sedia maklum, banyak program atau taklimat khas untuk lepasan SPM, terutama bagi pelajar cemerlang, sebagai panduan untuk meneruskan pengajian, kursus yang sesuai dan institusi yang tepat, selaras dengan kelulusan mereka. Bagaimana pula dengan program untuk mereka yang mendapat keputusan sederhana, buruk atau gagal?

Golongan inilah sebenarnya yang memerlukan banyak bimbingan, terutama mengenai hala tuju mereka selepas ini. Tentunya ada pelbagai pilihan lain bagi mereka, sama ada mengambil peperiksaan semula atau menceburi bidang lain, sesuai dengan kelulusan.  Misalnya dalam bidang teknikal, automotif atau pertanian, yang menawarkan pelbagai peluang kerja dalam industri masa kini.

Kita tidak mahu melihat mereka hilang arah, menjadi beban kepada keluarga dan lebih buruk lagi menjadi masalah kepada masyarakat dan negara. Mereka memerlukan khidmat nasihat untuk menentukan langkah selepas SPM.

Oleh itu, program khas atau motivasi perlu diperbanyakkan untuk golongan ini. Malah kalau boleh institusi pengajian tinggi menyediakan kursus atau program yang sesuai untuk golongan.

Bagi pihak keluarga pula, berilah galakan dan semangat kepada mereka untuk bangkit semula daripada kegagalan, atau berusaha lebih gigih lagi untuk memperbaiki diri.

“Sokonglah dan bimbinglah anak anda yang gagal, sebagaimana anda menyokong dan membimbing anak anda yang berjaya”. Kejayaan masa depan seseorang bukan hanya diukur melalui kelayakan memasuki institusi pengajian tinggi, kerana banyak lagi cabang lain yang boleh diterokai dan dimanfaatkan, asalkan ada kemahuan, di situ ada jalan.

Yang pasti, untuk mencapai kejayaan masa depan, ia perlu diiringi dengan semangat, ketabahan, kegigihan dan usaha yang konsisten. Perlu diingat, setiap kejayaan tidak akan datang bergolek

Suara Sarawak