SEBELUM wabak Covid-19, dunia pernah mengalami lembaran hitam dalam sejarah manusia iaitu wabak hitam yang pernah mengorbankan 75 juta nyawa.

Wabak hitam berlaku pada 1334 sehingga 1353 bukan sahaja melanda di Eropah malah turut melanda di beberapa negara seperti China, India, Parsi dan Rusia. Dianggarkan satu pertiga penduduk Eropah kehilangan nyawa akibat wabak tersebut sehingga memberi kesan kepada politik, agama dan ekonomi di Eropah.

Oleh itu, tidak menghairankan wabak ini digelar wabak hitam kerana kesannya begitu dahsyat sekali ke atas ketamadunan manusia. Punca Wabak Hitam Wabak hitam berpunca daripada sejenis bakteria dinamakan Yersinia Pestis yang tinggal di celah bulu tikus.

Yersinia Pestis – https://pikabu.ru/

Menurut fakta sejarah, wabak ini juga dibawa oleh tentera Mongol dalam misi mereka menakluki dunia. Tempat pertama wabak ini melanda adalah Hubei dan kemudian merebak sehingga beberapa bahagian wilayah di China.

Ketika kempen penaklukan Mongol di Kaffa, tentera Mongol  menggunakan mayat yang dijangkiti wabak hitam untuk menyerang kota tersebut. Akibatnya, ramai penduduk Kaffa mati akibat wabak hitam yang disebar melalui mayat tercemar yang dibawa oleh tentera Mongol.

Kesan wabak hitam Penghidap yang dijangkiti wabak ini menunjukkan simptom dan gejala seperti demam, muntah dan cirit-birit.

Selain itu, penghidap juga mengeluarkan bisul hitam sehingga menyebabkan nanah dan darah terkeluar. Kesan daripada wabak ini, pemikiran manusia mula berubah sehingga memberi kesan kepada institusi keagamaan dan beraja di Eropah.

Ada mula beranggapan wabak ini sebagai bentuk hukuman daripada Tuhan atas dosa dilakukan oleh masyarakat Eropah. Pengajaran daripada wabak ini, kita perlu mengutamakan kebersihan dalam segala aspek supaya terhindar daripada penyakit. – History TV