KUCHING: Kelonggaran untuk bergerak melebihi had 10 kilometer dari kawasan rumah diberikan kepada penduduk di kawasan luar bandar, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu berkata, sekatan berkenaan akan diteruskan untuk penduduk di kawasan bandar selaras dengan arahan daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Pergerakan untuk mereka yang ingin membeli makanan dan keperluan dihadkan, pergerakan dari satu tempat ke tempat lain terhad dalam radius 10km dan tidak boleh disertai oleh orang lain melainkan dengan alasan yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang ditayangkan secara langsung di Facebook Unit komunikasi Awam Sarawak (Ukas), sebentar tadi.