KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Kabinet telah ditubuhkan untuk merangka langkah strategik dalam melindungi prestasi ekonomi dan pasaran pekerjaan Malaysia yang terkesan daripada pandemik COVID-19, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI berkata jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk mencari penyeimbangan di antara keutamaan ekonomi negara dengan pelaksanaan langkah Perintah Kawalan Pergerakan yang efektif.

“Tumpuan utama lain termasuk rangka strategi untuk menyokong prestasi enjin ekonomi Malaysia seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas sepanjang PKP serta mengurangkan kesan ke atas peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat,” menurut MITI dalam kenyataan hari ini.

Kementerian itu berkata penubuhan jawatankuasa itu juga menggambarkan tindak balas kerajaan yang responsif dalam menangani isu yang disampaikan oeh rakyat serta komuniti perniagaan.

MITI berkata jawatankuasa ini akan dipengerusikan bersama Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli-ahli jawatankuasa pula terdiri daripada kalangan individu yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan keselamatan negara, menurut MITI.

Selain itu, MITI akan menjalankan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai segmen ekonomi yang tertentu.

“Ini adalah penting bagi memastikan jawatankuasa ini dapat memberi cadangan yang spesifik berkaitan komuniti perniagaan Malaysia terutama PKS, para pengilang dan pelabur,” kata MITI.

Kementerian itu berkata Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut akan bersidang pada Jumaat, 3 April 2020 dan akan menjalankan mesyuarat keduanya pada  Ahad, 5 April 2020.

“Pada akhir mesyuarat, cadangan daripada hasil perbincangan jawatankuasa ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa perjumpaan Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada Isnin, 6 April, 2020,” menurut MITI.