KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat syarikat perkhidmatan kesihatan dalam talian bagi inisiatif sistem ‘Online Appointment’ dan ‘Webinar for COVID-19’.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sistem ‘Online Appointment’ merupakan kolaborasi antara KKM dan empat syarikat utama iaitu Queuemed, EncoreMed, Bookdoc dan Doctoroncall, sebagai alternatif untuk mengurangkan isu kesesakan di klinik-klinik kesihatan di samping bagi tujuan jarakan sosial semasa pandemik penyakit COVID-19.

Katanya melalui inisiatif itu pelanggan boleh memilih slot waktu janji temu untuk datang ke klinik kesihatan KKM bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Khusus bagi pandemik COVID-19 di mana jarakan sosial perlu diamalkan, adalah diharapkan pelaksanaan sistem ini dapat membantu mengatasi isu kesesakan dan masa menunggu yang panjang di klinik kesihatan,” katanya melalui posting di laman sosial Facebook miliknya malam ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata inisiatif ‘Webinar for COVID-19’ pula merupakan satu kolaborasi antara BookDoc dan KKM untuk menyalurkan informasi kesihatan yang tepat dan terkini berkaitan dengan COVID-19.

“Bagi Webinar, ia adalah saluran alternatif untuk orang awam, yang mana ia melibatkan sesi soal jawab secara ‘web-based’ bersama pakar perubatan kesihatan awam dan pegawai perubatan KKM serta pegawai dalam kategori-kategori lain seperti Dietetik,” menurutnya.

Menurut Dr Noor Hisham, kedua-dua inisiatif baharu ini dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan.

“Inisiatif-inisiatif ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada semua syarikat terlibat untuk tempoh tiga bulan dan orang awam boleh mendapatkan maklumat berkaitan melalui portal KKM (moh.gov.my) dan syarikat masing-masing,” menurutnya.

“Diharap usaha ini akan membantu mengurangkan keresahan dan meningkatkan tahap kesedaran orang awam berkaitan pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan yang disaran kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 di negara kita pada masa ini,” tambahnya.

Slot bagi sistem Online Appointment akan dibuka dari pukul 8.30 pagi sehingga 4.30 petang dan senarai klinik kesihatan terlibat boleh dirujuk melalui portal KKM.

Sementara itu, waktu Webinar pula adalah dari pukul 2.00 hingga 2.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat. Webinar ini boleh ditonton melalui sesawang webinar.bookdoc.com. – Bernama