KUCHING: Tiga penjenayah gagal meloloskan diri selepas aksi kejar mengejar dengan polis, dalam kejadian yang turut tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata semua suspek berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan di Jalan Depo, Petra Jaya lebih kurang jam 1.10 petang tadi.

Katanya kejadian berlaku semasa sepasukan anggota polis yang membuat rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Central Timur mengarahkan kenderaan yang dinaiki ketiga-tiga suspek untuk berhenti bagi pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya kereta jenis Perodua Rusa bercermin gelap itu terus dipandu laju dan tidak berhenti.

“Bantuan telah diminta dari Pusat Kawalan Kuching untuk menahan kenderaan berkenaan.

“Kenderaan berkenaan telah mengelak dari ditahan di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub oleh pasukan bantuan yang mana hampir melanggar salah sebuah kenderaan polis yang cuba menahannya.

“Seterusnya kenderaan dikejar sehinggalah di Jalan Depo, dimana kenderaan tersebut berjaya disekat dan tiga orang lelaki telah keluar dari kenderaan berkenaan untuk melarikan diri dan salah seorang mencampakkan sesuatu sambil cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awang Din menambah kesemua suspek kemudian berjaya ditahan dan polis telah menjumpai beg yang dicampak salah seorang daripada mereka.

Katanya pemeriksaan ke atas beg itu mendapati ia mengandungi dadah.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan menemui satu topeng dan satu pistol tiruan,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi.

Katanya mereka telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan akan disiasat kerana melanggar PKP serta lain-lain kesalahan termasuk dadah.