KUCHING: Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) akan diperuntukkan RM200,000 untuk menyediakan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, peruntukan ini adalah daripada RM16.4 juta yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 29 Mac lalu.

Menurutnya peruntukan mula disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada Pusat Khidmat Adun mulai semalam dan dijangka selesai hari ini.

“Semua Pusat Adun telah diminta untuk membuat tempahan makanan dengan serta merta dan setakat hari ini, sebanyak 44 buah Pusat Khidmat telah membuat tempahan bekalan makanan.

“Manakala 38 buah Pusat Khidmat masih dalam proses berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan menambah golongan sasaran yang dibekalkan dengan makanan asas ini terdiri daripada Ketua Isi Rumah di kawasan luar bandar dan pedalaman, miskin bandar dan mereka yang terputus pendapatan kerana PKP.

Katanya, senarai penerima bantuan makanan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Bencana Bahagian/Daerah yang terdiri daripada Residen, Pegawai Daerah, agensi-agensi kerajaan, Pusat Khidmat Adun dan NGO yang relevan.

Fatimah berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah diminta untuk memastikan bekalan makanan mencukupi di setiap 800 buah pusat jualan/ kedai runcit di seluruh Sarawak.

Katanya semua pusat jualan/ kedai runcit ini telah dibenarkan beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 4 petang.

Beliau berkata, setakat 1 April ini, semua Jawatankuasa Bencana Bahagian/Daerah telah selesai mengenal pasti golongan sasaran, pusat pengagihan dan modus operandi penghantaran ke setiap rumah dan mengambil kira pematuhan kepada PKP.

“Bagi kawasan pedalaman yang tidak boleh atau sukar dihubungi melalui jalan darat, contohnya di Bario, Telang Usan, Baram, Lawas, Sri Aman dan Kapit, pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah bersetuju untuk membantu penghantaran makanan menggunakan helikopter.

“Jadual penghantaran bekalan makanan asas sedang diurus dan dijangka perkhidmatan akan bermula pada 3 atau 4 April,” katanya.