LEBIH 100 anak kapal induk nuklear AS Theodore Roosevelt dijangkiti wabak Covid-19. Kapten Brett Crozier memberitahu Pentagon virus itu tidak terkendali dan merebak di kapal yang mempunyai 4,000 anggota itu.

Melalui surat empat halaman, kapten menulis memberitahu wabak itu sukar dibendung dan digambar sebagai mengerikan ketika kapal berlabuh di perairan Guam.

Mengutip AFP berdasarkan salinan surat diterbitkan San Francisco Chronicle pada Selasa, Crozier berkata, penyebaran virus itu pantas sedangkan kemudahan di kapal tersebut terbatas.

Crozier juga meminta fasiliti kuarantin untuk seluruh krew di Guam. The New York Times turut menyiarkan berita yang sama walaupun ia tidak disahkan pihak tentera.

Kepemimpinan Angkatan Laut dikatakan bertindak pantas mengambil semua langkah yang diperlukan memastikan kesihatan dan keselamatan krew kapal terbabit.