PENGURUSAN Sarawak United FC I belum memutuskan serta mengadakan perbincangan dengan pemain mengenai pemotongan gaji bagi meringankan beban kewangan pasukan.

Pengurus Sarawak United FC I, Afiq Fikri Brahim berkata, setakat hujung bulan Mac pihak pengurusan belum membuat apa-apa keputusan mengenai pemotongan gaji pemain untuk meringankan beban pengurusan.

“Setakat bulan Mac ini, pemain masih menerima gaji seperti biasa walaupun banyak perubahan berlaku pada pasukan.

“Walau bagaimanapun, untuk bulan April kita belum putuskan lagi sama ada berlaku pemotongan gaji atau tidak kerana pihak pengurusan belum mengadakan perbincangan dengan pemain,” katanya semasa dihubungi oleh Suara Sarawak semalam.

Tambah beliau, sumbangan daripada pasukan juga belum ditentukan dan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, skuad Kuching FA juga belum memutuskan untuk melakukan pemotongan gaji pemain tetapi akan memotong sebanyak lima peratus daripada gaji pemain bagi tujuan tabung sumbangan Covid 19.

Pemain-pemain Kuching FA dengan sukarela memotong gaji bulan April sebanyak lima peratus bagi membantu golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid -19.

Selain itu, pasukan Liga Premier lain yang turut melakukan pemotongan gaji adalah Pasukan UKM FC sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus bagi meringankan beban kewangan kelab.