LONDON: Britain melaporkan kematian harian akibat Covid-19 sebanyak 381 pada Selasa, termasuk seorang budak lelaki berusia 13 tahun, dua kali ganda dalam jumlah kematian di seluruh negara berbanding angka dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Budak lelaki terbabit, yang meninggal dunia di King’s College Hospital di London, dipercayai kematian termuda disahkan akibat pandemik koronavirus di Britain, dengan ahli keluarganya mengatakan dia tidak mempunyai sebarang penyakit kronik lain.

Jumlah kematian harian tertinggi negara itu sebelum ini ialah 260, direkodkan pada Sabtu lalu, dengan angka itu menurun kepada 180 pada Isnin.

Kira-kira 25,150 orang diuji positif bagi virus maut itu di Britain setakat ini, termasuk Perdana Menteri Boris Johnson Sehingga 5 petang waktu tempatan (1600 GMT) pada 30 Mac, seramai 1,789 orang meninggal dunia, kata kementerian kesihatan di laman Twitter rasminya.

Tetapi data yang diterbitkan oleh Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) bagi England dan Wales pada Selasa mendedahkan angka kematian mungkin 24 peratus lebih tinggi.

Angka kerajaan meliputi mereka yang dibawa ke hospital dan diuji positif bagi koronavirus Covid-19, manakala data ONS adalah bagi kematian dalam komuniti yang Covid-19 disyaki berlaku. – AFP