BETONG: “Ibu, ayah, usah risau keadaan kami… ada pihak pe-ngurusan yang prihatin di kampus,” – itu nada lega penuntut Politeknik METrO Betong Sarawak (PMBS) yang tidak dapat pulang ke kampung ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut penuntut semester tiga Diploma Pengurusan Pelancongan, Edius Hanz Edmond, pihak pe-ngurusan PMBS amat mengambil berat akan keperluan dan aktiviti penuntut sepanjang tempoh PKP. “Dari aspek kebajikan dan aktiviti harian, kami amat terjaga.

“Keluarga di rumah khususnya ibu bapa tidak perlu risau kerana keperluan (makanan) serta perbelanjaan saya mencukupi selepas banyak pihak luar yang tampil membantu,” kata anak Kampung Rituh Labuan, Serian itu.

Jelasnya, dalam tempoh PKP ini, terdapat beberapa pihak yang menghulurkan sumbangan seperti makanan, barangan keperluan dapur termasuk cecair pembasmi kuman kepada 99 penuntut PMBS. Pada 22 Mac, mereka mendapat bekalan makanan kering seperti makanan dalam tin, mi, beras, biskut, dan sebagainya selain pembersih tangan.

Sementara bermula 26 hingga 31 Mac, PMBS mengagihkan makanan bungkus (makan tengah hari dan malam) hasil peruntukan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Bagi penuntut semester empat Diploma Pengurusan Pelancongan Marcellyn Caye David, dia mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu, sama ada PMBS sendiri mahupun pihak luar.

“Saya bersyukur kerana sepanjang tempoh PKP, saya dan rakanrakan amat terjaga… tiada yang kurang dari segi makanan dan kewangan kerana ada sumbangan yang dihulurkan oleh PMBS serta pihak luar.

“Saya turut berterima kasih kepada ‘jarak’ kerana daripada situ saya belajar betapa indahnya erti rindu… khususnya terhadap keluarga yang jauh,” akuinya yang berasal dari Kampung Sagah, Bau.

Menurut Pengarah PMBS Suhaili Alih, pihaknya menubuhkan jawatankuasa petugas bermula 18 Mac lalu dalam menghadapi Covid-19. “Saya sendiri sebagai pengerusi dan jawatankuasa ini bertindak mencari penyelesaian terbaik sepanjang PKP, termasuk membantu penuntut.

“Salah satunya gesaan untuk setiap penuntut agar mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Bagi pelajar yang tidak balik kampung, mereka tidak perlu risau kerana makanan disediakan, malah turut menerima sumbangan daripada pihak luar.

“Saya tidak menyarankan pelajar balik kerana ia akan merisikokan keluarga dan diri sendiri, di samping sekatan jalan raya turut diperketatkan,” jelasnya.

Katanya, penuntut PMBS menerima sumbangan daripada Adun Layar Gerald Rentap Jabu (diagihkan Kolej Komuniti Betong), Syarikat Central Enterprise dan Syarikat Seng Fung World Sport Centre serta Unit Hal Ehwal Pelajar PMBS sendiri.

Ditanya mengenai sesi pengajaran dan pembelajaran sepanjang PKP, PMBS sentiasa mengikut garis panduan yang dikeluarkan serta diselaras oleh JPPKK. Untuk tugasan kerja kursus, penuntut yang belum siap harus menyelesaikannya secara dalam talian bersama-sama pensyarah kursus tersebut.