BEIJING: Dunia kini berjuang memerangi wabak  COVID-19 yang sudah menular ke lebih 200 negara dan wilayah, yang menyaksikan jumlah kes disahkan melebihi sejuta, lapor agensi berita Xinhua.

Di Washington, Johns Hopkins University pada Khamis mengumumkan jumlah kes disahkan di seluruh dunia melebihi sejuta, 1,002,159 orang didiagnosis dan 51,485 nyawa terkorban, manakala lebih 200,000 pesakit sembuh.

Di Brazil, korban meningkat kepada 299 orang dan jumlah kes disahkan sebanyak 7,910, kata Kementerian Kesihatan pada Khamis.

Dalam tempoh 24 jam lalu, 59 pesakit meninggal dunia dan 1,074 orang diuji positif.

Di Paris, kematian dalam tempoh sehari di Hospital Perancis seramai 471 pesakit, menjadikan jumlah keseluruhan 4,503 orang.

Kira-kira 900 warga emas di rumah penjagaan orang-orang tua meninggal dunia sejak wabak mula melanda.

Secara keseluruhannya, 59,105 orang diuji positif, peningkatan sebanyak 2,116 dalam sehari, berbanding 4,861 pada Rabu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Jerome Salomon pada Khamis.

Di Tripoli, Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan Libya mengumumkan kematian pertama akibat COVID-19, melibatkan seorang wanita berusia 85 tahun.

Sementara itu di Kaherah, enam kematian dilaporkan pada Khamis, jumlah keseluruhan korban 58 orang dengan 86 kes baharu disahkan.

Di Baghdad pula, Kementerian Kesihatan Iraq mengesahkan dua lagi kematian dan 44 kes baharu, membawa jumlah jangkitan kepada 772.

Israel melaporkan 765 kes disahkan, tertinggi dicatakan setakat ini, menjadikan jumlah keseluruhan 6,857.

Lima kematian baharu turut direkodkan, keseluruhan berjumlah 36 orang.

Korban membabitkan mereka yang berumur 77 hingga 98 tahun, mempunyai sejarah penyakit kronik.  – Bernama