PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam meninjau Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di Kementerian Kewangan di sini, bagi memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkannya pada Jumaat lepas.

Muhyiddin berkata LAKSANA bertanggungjawab memastikan inisiatif yang diumumkan dalam Pakej PRIHATIN bernilai RM250 bilion dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Saya difahamkan penyaluran peruntukan bantuan kepada pemandu teksi dan pemandu pelancong yang berdaftar telah dilaksanakan mulai hari ini.

“Saya berharap proses pendaftaran dan semakan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjalan dengan lancar,” katanya.

Ketika tinjauan itu, Muhyiddin diberi penerangan oleh Pengarah Pejabat Belanjawan Negara merangkap Ketua Unit LAKSANA Johan Mahmood Merican mengenai pengoperasian pelaksanaan PRIHATIN.

LAKSANA ditubuhkan pada 16 Mac lepas bagi memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020.

LAKSANA bertanggungjawab menyediakan laporan secara berkala berhubung status pelaksanaan dan pencapaian inisiatif berkaitan PRE kepada Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahri.

Orang ramai boleh mengajukan sebarang pertanyaan dan kesulitan melalui talian Kementerian Kewangan di 03-8882 9089, 03-8882 9087, 03-8882 9191, 03-8882 4565, 03-8882 4566 (waktu bekerja sahaja) atau e-mel: bsh@treasury.gov.my pre2020@treasury.gov.my atau Telegram: PRE PRIHATIN atau Facebook: Kementerian Kewangan Malaysia.

Orang ramai juga boleh menghubungi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di talian 1-800 882 747 atau 03-8911 1000 untuk sebarang pertanyaan.– BERNAMA