BARISAN pemain skuad bola sepak Kuching FA membuat tabung sendiri melalui potongan gaji lima peratus bagi membantu mereka yang terjejas ekoran wabak Covid-19.

Menurut Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman, ia adalah atas inisiatif para pemain sendiri untuk memotong lima peratus daripada gaji mereka pada April ini.

“Para pemain telah berbincang sesama sendiri dan mengusulkannya kepada pihak pengurusan. “Ia adalah untuk membantu keluarga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Menurut Fazzrudin, beliau amat berterima kasih kepada para pemain yang prihatin terhadap golongan yang terjejas di luar sana. “Ia merupakan satu pengorbanan dalam keadaan mereka sendiri juga memerlukan wang. Walaupun jumlahnya tidaklah seberapa, namun saya bangga dengan keprihatinan mereka,” jelasnya.

“Sebelum ini mereka (para pemain) telah pun memberi sumbangan ikhlas bersama-sama pegawai pasukan dan berjaya mengumpul RM2,000,” ujar Fazzrudin. Kuching FA merupakan antara pasukan Liga Malaysia 2020 yang bersedia menghadapi pemotongan gaji untuk membantu masyarakat yang memerlukan sepanjang PKP yang berkuat kuasa sehingga 14 April ini.

Antara pasukan yang berbuat demikian sebelum ini ialah skuad Liga Super, JDT yang memotong gaji pemain sebanyak 33 peratus. Ia diikuti pasukan UKM FC (Liga Premier) yang dipotong gaji sebanyak 15 hingga 20 peratus.

Beberapa pasukan lagi akan mengikut jejak langkah mereka selepas ini. Sebahagian besar pasukan dalam Liga Eropah telah pun menghadapi pemotongan gaji sekarang ini.

Kelab gergasi Sepanyol, Barcelona misalnya, memotong gaji sehingga mencecah 70 peratus. Ekoran wabak Covid-19 yang semakin serius sekarang ini, terutama di benua Eropah, memungkinkan liga utama seperti Serie A Itali, La Liga Sepanyol dan Liga Perdana Inggeris (EPL) dihentikan.

Malah liga di benua Asia turut menerima tempiasnya, termasuk Liga Malaysia yang masih lagi ditangguhkan, dan kemungkinan besar akan dilanjutkan penangguhan. Jika ini berlaku, Piala Malaysia dan FA bakal dikorbankan.