SEOUL: Sekitar 4,000 warga Korea Selatan yang bekerja untuk tentera AS diarah bercuti tanpa gaji pada Rabu ketika Seoul dan Washington bertelagah berhubung pembiayaan untuk pasukan tentera AS.

Washington menempatkan 28,500 tenteranya di Korea Selatan untuk mempertahankan ia daripada Korea Utara. Tetapi hubungan dua sekutu keselamatan itu dikeruhkan oleh tuntutan berbilion dolar AS yang perlu dibayar oleh Korea Selatan.

Pentadbiran Trump mulanya menegaskan bayaran AS$5 bilion setahun, peningkatan lebih lima kali ganda. Pegawai AS mengatakan mereka “berkompromi” berkaitan jumlah itu tetapi rundingan baru-baru ini pada pertengahan Mac, gagal mencapai kesepakatan.

Perjanjian Langkah Khas sebelumnya yang membiayai pasukan itu tamat pada akhir Disember. Angkatan Tentera Korea AS (USFK) bulan lalu berkata ia mungkin terpaksa mengarahkan pekerja warga Korea bercuti dari 1 April apabila dana untuk membayar gaji mereka kehabisan.

“Ini hari malang bagi kami… ia pernah dijangka berlaku… ia menyayat hati,” kata komander USFK, Robert Abrams dalam kenyataan pada Rabu. “Mereka ini pekerja kami, rakan sekerja kami, rakan sepasukan kami, dan kami menganggap mereka keluarga,” katanya. “Mereka sangat penting untuk misi kami.”

Cuti tanpa gaji setakat ini melibatkan hampir separuh daripada hampir 9,000 kakitangan warga Korea Selatan.

Keputusan itu dibuat ketika Seoul dan tentera AS berdepan dengan Covid-19, dengan 13 kes dikaitkan dengan USFK disahkan, sementara Korea Utara terus melancarkan beberapa siri ujian peluru berpandu. – AFP