JANGAN salahkan tabligh, jangan salahkan diri sendiri dan jangan salahkah sesiapa. Lihat dari sudut positif mengenai Covid-19 walaupun telah meragut 50 nyawa rakyat Malaysia setakat ini.

Hikmahnya kerana kita berpeluang menyaksikan semua pihak merentasi batas agama dan pegangan politik bekerjasama dalam usaha memutuskan rantaian wabak maut ini.

Beberapa negara yang terjejas akibat serangan Covid-19 mengambil tindakan drastik dengan melaksanakan kawalan pergerakan dan perintah berkurung untuk membataskan pergerakan rakyat, bagi memutuskan rantaian jangkitan secepat mungkin.

Malaysia turut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu hingga 31 Mac tetapi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melanjutkan lagi tempoh ini sehingga 14 April ini.

Minggu pertama PKP bukan sesuatu yang mudah bagi rakyat Malaysia untuk duduk diam di rumah kerana banyak cabaran dihadapi dan banyak juga ragam ditangani.

Tambahan lambakan berita palsu yang bertebaran mengenai bekalan makanan tidak cukup, konon tentera yang mengambil alih PKP dan pelbagai berita tidak masuk akal, yang ironinya diterima rakyat sebagai sesuatu yang benar. Rakyat semakin gelisah dan mati kutu di rumah dan sesetengahnya menganggap tindakan kerajaan sebagai satu penderaan.

Hakikatnya, pendekatan kurang popular itu bertujuan untuk memutuskan rantaian Covid-19. Dalam keadaan ini, semua pihak harus melihat sesuatu isu secara keseluruhan, bukan dari kaca mata mereka sebagai rakyat biasa. Bayangkan, ketika kita goyang kaki di rumah menonton televisyen sambil makan nasi goreng, anggota kesihatan pula bekerja di barisan hadapan memerangi wabak di hospital.

Kerajaan sendiri menyedari dan mengakui ramai jururawat dan kakitangan hospital yang teramat letih kerana terpaksa bekerja siang dan malam, berbelas-belas jam untuk membuat saringan kes Covid-19 dan merawat mereka yang disahkan positif. Ini belum lagi ada antara mereka yang dijangkiti. Malah ada beberapa petugas kesihatan yang telah hilang nyawa dan kini bertarung dengan maut.

Justeru langkah kerajaan memastikan barisan hadapan terus kuat dan utuh amat penting. Ini kerana mereka umpama pejuang dan benteng utama. Runtuh mereka, runtuhlah kita. Jika rakyatnya sudah runtuh dan lemah, ia akan mengundang malapetaka yang lebih besar, yang tidak kita jangka.

Justeru, kita perlu sentiasa menyuntik semangat kepada barisan hadapan ini. Jangan biarkan mereka lumpuh kerana keletihan melampau akan memberi kesan kepada fizikal dan moral petugas. Kerana itu, tindakan KKM mengambil 2,000 petugas tambahan yang terdiri daripada petugas kesihatan yang bersara adalah tindakan yang tepat.

Di sinilah peranan rakyat penting, memberi sokongan moral dan fizikal. Caranya amat mudah, duduk diam di dalam rumah. Keluar hanya apabila perlu dan berterusterang serta jujur tentang sejarah kesihatan.

Kita juga perlu berkorban untuk membalas kudrat, keringat dan nyawa yang dipertaruhkan mereka dengan duduk di rumah. Laksanakan penjarakan sosial dan dapatkan pemeriksaan segera sekiranya mempunyai gejala. Jangan biarkan barisan hadapan kita lumpuh